Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bekas ulama PAS sedih MB Kedah 'mencarut'

Perjuangan Islam PAS sudah jauh tersasar apabila pemimpin yang bercakap kasar menjadi sanjungan parti itu, kata bekas setiausaha Dewan Ulama PAS Khairuddin Aman Razali.

Menurutnya, perkara tersebut dapat dilihat dalam kempen parti berkenaan di DUN Pelangai yang mana Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengeluarkan kenyataan yang tidak selayaknya diucapkan.

"Saya sangat sedih bila melihat pemimpin utama parti yang boleh saja mencarut, bercakap lucah di pentas politik kemudian ditepuk dan disorak ahli-ahli.

"Tersebar dalam internet ucapan menteri besar Kedah yang menyebut kalimah (ucapan) yang tidak sesuai, memalukan untuk kita sebut itu oleh menteri besar daripada Islam pula.

"Kita perlu politik damai, tidak perlu politik lucah, perpecahan dan BN kekal dengan prinsip sebegini," kata Khairuddin yang kini setiausaha eksekutif Majlis Ulama Umno kepada Malaysiakini ketika ditemui berkempen di Felda Chemomoi, dekat Bentong.

Sanusi yang juga pengarah pilihan paya PN menggesa pengundi di Pelangai untuk menolak BN dan PH, bagi menyuarakan penentangan terhadap apa yang didakwanya sebagai liberalisme oleh kerajaan persekutuan.

Ketika berceramah pada malam penamaan calon di Felda Kemasul, Sanusi membangkitkan langkah Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee yang memetik terjemahan sepotong ayat al-Quran baru-baru ini.

Dia berkata perkara itu hanya boleh berlaku kerana Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi sokongan kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

"Yang liberal ni dia kata sekurang-kurangnya dia (Howard) mengaji..kepala bapak hang...hang bodoh.

"Quran ni Tuhan turunkan penuh kesucian, kemuliaan dia ada disiplin untuk menghurai, untuk menterjemah.

"Ni hangpa alif ba ta pun tak tahu...kote (anu) pun tak kerat," katanya pada majlis ceramah PN itu.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata PAS kini sudah tidak menggambarkan akhlak Islam apabila membenarkan pemimpin mereka melontarkan kata-kata yang tidak sopan.

"Bagi saya PAS telah jauh lari dari prinsip Islam...Islam ada akidah, syariat, dengan akhlak.

"Akidah jauh tersasar dengan isu-isu syurga, neraka menyamai pemikiran yang bukan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ)...mengkafirkan yang berbeza dengan mereka.

"Dari sudut syariat banyak yang dilanggar," katanya lagi.