ULASAN | Erdogan Khianati Palestin?
Dunia Islam dikejutkan dengan pertemuan rasmi antara Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di New York. Kedua-dua pemimpin berada di sana sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang ke-78.
Ini merupakan pertemuan pertama sejak hubungan kedua-dua negara bertukar tegang pada tahun 2010 selepas 10 orang rakyat Turkiye terbunuh dalam serbuan komando Israel ke atas kapal Mavi Marmara. Kapal tersebut merupakan sebahagian daripada konvoi Gaza Freedom Flotilla yang belayar untuk memecahkan sekatan tidak berperikemanusiaan Israel ke atas Gaza.
Pertemuan ini merupakan sebahagian daripada usaha Turkiye untuk memulihkan kembali hubungannya dengan negara-negara serantau selepas lebih satu dekad berada dalam ketidaktentuan ekoran Arab Spring, cubaan rampasan kuasa, serangan-serangan Israel ke atas Gaza dan pandemik COVID-19. Selain Israel, Turkiye juga telah memulihkan kembali hubungannya dengan UAE, Mesir dan Arab Saudi.
Justeru, tidak hairanlah Erdogan mengelak daripada mengecam Israel dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB. Tiada lagi retorik yang membakar semangat komuniti antarabangsa untuk terus menentang kezaliman Israel di Palestin. Sebaliknya, Erdogan menyebut konflik Israel-Palestin sekadar sepintas lalu dengan menyatakan komitmen untuk mempertahankan hak-hak rakyat Palestin seperti yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa.
Pemulihan hubungan Turkiye-Israel ini diburukkan lagi dengan kenyataan Erdogan untuk menyokong usaha normalisasi hubungan antara Israel dan Arab Saudi. Ini merupakan perubahan drastik daripada pendirian awal Erdogan yang menganggap normalisasi hubungan negara-negara Arab dengan Israel sebagai satu pengkhianatan kepada rakyat Palestin.
Laporan Middle East Eye memetik sumber dalaman Turkiye yang mempertahankan pendirian ini sebagai konsisten dengan polisi sedia ada Liga Arab. Inisiatif Keamanan Arab 2002 sebelum ini menawarkan hubungan damai dengan Israel dengan syarat Palestin diberikan kemerdekaan terlebih dahulu dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara mereka.
Sumber sama turut mendakwa langkah ini mampu memberi kesan positif kepada konflik Israel-Palestin. Hubungan ini didakwa boleh memberikan tekanan kepada Israel untuk mengurangkan ketegangan di Palestin demi memelihara hubungannya dengan Turkiye dan negara-negara Arab.
Dakwaan ini sangat jauh daripada kebenaran. Buktinya, normalisasi hubungan antara Israel dengan UAE dan Bahrain melalui Perjanjian Abraham pada tahun 2020 langsung tidak menghalang Israel untuk mengusir rakyat Palestin dari Sheikh Jarrah, menceroboh masuk ke dalam Masjid al-Aqsa ketika bulan Ramadan dan mengebom Gaza pada Mei 2021.
Sebaliknya, UAE dan Bahrain yang dimalukan kerana tidak mampu berbuat apa-apa untuk menghentikan kezaliman Israel. Bahkan mereka telah dibisukan oleh normalisasi yang berlaku.
Tekanan ekonomi, kejatuhan teruk mata wang lira dan keperluan untuk menjaga kepentingan nasional Turkiye mungkin memaksa Erdogan untuk menjalin semula hubungan dengan Israel. Tetapi beliau tidak seharusnya pergi lebih jauh dengan menyokong normalisasi hubungan antara Arab Saudi dan Israel. Normalisasi antara penjaga dua kota suci umat Islam - Mekah dan Madinah, dengan penjajah kota suci umat Islam yang ketiga - Baitulmaqdis, adalah satu pengkhianatan yang nyata!
Normalisasi Arab Saudi dan Israel hampir pasti akan mengangkat halangan ke atas negara-negara Arab dan Islam yang lain untuk turut menjalin hubungan dengan Israel. Apa alasan untuk negara-negara ini menolak normalisasi sekiranya penjaga Mekah dan Madinah telah terbuka untuk menerima Israel?
Ini mengulangi kesilapan Palestine Liberation Organization (PLO) 30 tahun dahulu ketika menandatangani Perjanjian Damai Oslo dengan Israel. Apabila PLO sendiri telah bersedia untuk berkompromi dan menerima penyelesaian dua negara, apa alasan untuk negara-negara Islam yang lain menolaknya? Hasilnya dunia hari ini terperangkap dalam idea penyelesaian dua negara yang tiada penghujungnya.
Tindakan Erdogan mengingatkan penulis kepada pengkhianatan Sultan al-Kamil, Sultan Ayyubiyah keempat yang sanggup menggadai Baitulmaqdis kepada Raja Sicily, Frederick II semata-mata untuk kekal berkuasa.
Daripada bertempur dengan Tentera Salib Keenam, al-Kamil memilih untuk berdamai dengan Frederick II dan menyerahkan Baitulmaqdis kepadanya supaya beliau dapat menumpukan perhatian untuk menangani ancaman daripada sultan-sultan Ayyubiyah lain yang ingin merebut takhtanya.
Akibatnya, Baitulmaqdis jatuh ke bawah penguasaan Tentera Salib, 42 tahun selepas ia dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayyubi. Mujur Sultan as-Salih kemudian berjaya menguasai semula Baitulmaqdis pada tahun 1244. Itu pun dengan bantuan tentera Khwarazmian.
Kelantangan Erdogan membela rakyat Palestin sebelum ini tidak bermakna tindakan beliau pada hari ini boleh dipertahankan. Tindakan Turkiye untuk mengimbangi antara hubungannya dengan Israel dan sokongannya kepada rakyat Palestin atas perkiraan realpolitik harus ada hadnya.
Al-Kamil juga pernah berjasa. Beliau adalah Sultan Ayyubiyah yang mengalahkan Tentera Salib Kelima. Namun, pengkhianatan beliau dalam Perang Salib Keenam tetap mendapat kecaman dalam lembaran sejarah.
KHALID JIMAT ialah ketua pegawai penyelidik, Palestine Centre of Excellence (Pace).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai