Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

MB: Agensi S'gor boleh bekal beras dalam masa 24 jam

Menteri besar Selangor Amirudin Shari hari ini memberi jaminan bahawa sebarang kekurangan bekalan beras di seluruh itu negeri boleh diselesaikan dalam tempoh 24 jam selepas membuat laporan kepada agensi bertanggungjawab.

Ketika berucap pada majlis penghargaan kepada kakitangan Perbadanan Pertanian Selangor, Amirudin berkata sebarang kekurangan bekalan beras tempatan boleh dikaitkan dengan perbuatan "pembelian panik" di kalangan pengguna.

Meminta orang ramai tidak membuat pembelian panik, Amirudin juga memberi jaminan tidak akan menetapkan had pembelian beras tempatan untuk memenuhi keperluan enam juta penduduk negeri.

“Kita tidak mahu tambah tekanan kepada rakyat dengan meletakkan had pembelian kerana akan menimbulkan masalah seperti pasaran gelap.

“Tidak perlu belian panik kepada masyarakat di Selangor terutama tanpa sentuh stok penimbal serta kemasukan bekalan baru melalui pemulaan musim penuaian padi pada bulan ini,” katanya.

Menurut Amirudin dia dimaklumkan stok beras 1,000kg boleh habis di sesetengah pasaraya dalam masa tiga hari kerana pembelian panik.

"Kepada rakyat Selangor, jika terdapat sebarang masalah bekalan, anda boleh menghubungi pihak kawal sedia padi dan beras di talian 03-32898419 ataupun 017-2230771 untuk bercakap secara terus ataupun melalui aplikasi WhatsApp.

"Kerajaan negeri melalui Kawalselia Padi dan Beras komited untuk mengambil tindakan dalam tempoh masa 24 jam bagi mengatasi aduan bekalan beras putih tempatan," katanya.

Majlis yang diadakan di Wisma PKPS di Shah Alam hari ini juga menandakan ulang tahun pertama pelancaran "Jualan Ehsan Rahmah" kerajaan negeri Selangor diadakan enam hari seminggu di 2,850 lokasi keseluruhan.

Amirudin berkata penjualan yang diperkenalkan dengan kos RM40 juta sebagai satu bentuk "intervensi harga" barangan asas termasuk ayam, telur, minyak masak dan beras akan distruktur semula dan diteruskan pada tahun depan, menyasarkan golongan paling memerlukan di Selangor.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKPS Mohamad Khairil bin Mohamad Razi, exco Selangor yang bertanggungjawab ke atas infrastruktur, kemudahan awam dan pembangunan pertanian Izham Hashim, serta Speaker DUN Selangor Lau Weng San.

Bercakap kepada pemberita, Amirudin menjelaskan Selangor mempunyai baki bekalan 20,000 tan metrik sekali gus tiada keperluan untuk menggunakan stok penimbal iaitu simpanan jika sesuatu barangan di pasaran tidak cukup.

“Semalam, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri panggil Kawalselia Padi dan Beras Selangor (KSPDS), mereka laporkan kadar guna beras sekitar 45,000 tan untuk setahun," katanya.

"Maknanya, baki yang ada ini cukup sehingga Disember.

“KSPDS juga menyebut akhir September, kita akan ada bekalan tambahan melihat trend menuai padi di utara negeri, Insya-Allah bekalan beras cukup buat rakyat Selangor,” katanya lagi.