Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Anak maut kebakaran hospital: Mahkamah bicarakan kes saman dari ibu bapa

Tiga saman kecuaian yang difailkan oleh ibu bapa kepada tiga pesakit yang maut dalam kebakaran di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru pada 2016 akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Ini selepas Peguam Kanan Persekutuan Zahilah Mohammad Yusoff yang mewakili pengarah hospital, ketua pengarah kesihatan, Kementerian Kesihatan, kerajaan Malaysia serta pengarah kesihatan negeri Johor bersetuju untuk menarik balik permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran merayu.

Mereka ingin merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Februari tahun lepas yang membatalkan saman itu.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah, yang mempengerusikan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan, kemudian membatalkan permohonan kebenaran merayu.

Dua lagi hakim itu ialah hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Dalam prosiding hari ini yang diadakan secara dalam talian, Mohamad Zabidin memberitahu Zahilah bahawa keputusan Mahkamah Rayuan semasa kerajaan memohon kebenaran untuk merayu adalah interlokutori melibatkan isu mengenai statut had.

Hakim itu berkata mahkamah tidak memberikan kebenaran untuk perkara berkaitan interlokutori dan menyoal Zahilah sama ada lebih baik perbicaraan diteruskan di Mahkamah Tinggi dan kerajaan boleh berhujah mengenai isu berkaitan Akta Prosiding Kerajaan dan statut had memandangkan perbicaraan belum bermula.

Hakim Abu Bakar berkata adalah lebih baik isu itu diselesaikan di Mahkamah Tinggi berbanding kerajaan meneruskan permohonan kebenaran merayu kerana keputusan Mahkamah Tinggi boleh dirayu.

Peguam S Gunasegaran yang mewakili ibu bapa mangsa berkata kerajaan tidak akan diprejudis dan dihalang daripada berhujah mengenai statut had di Mahkamah Tinggi.

Zahilah kemudiannya bersetuju untuk menarik balik permohonan kebenaran merayu itu.

Ibu bapa kepada tiga pesakit itu iaitu Logeswaran Krishnasamy, Choo Lin Fong, dan Kaliama Muniandy, memfailkan saman tersebut pada 2019, mendakwa kecuaian pihak hospital dan kerajaan berhubung kebakaran yang berlaku pada 25 Okt 2016 di wad unit rawatan rapi hospital. Enam pesakit maut dalam kebakaran itu.

Pada 3 Mei lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan yang dikemukakan oleh ibu bapa tiga pesakit itu untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Februari tahun lepas yang membatalkan saman mereka.

Mahkamah Tinggi membatalkan saman mereka atas alasan “halangan masa"'. Seksyen 2(a) Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 mengenakan statut pengehadan tiga tahun ke atas tindakan undang-undang atau pendakwaan individu yang menjalankan tugas awam.

- Bernama