Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Apa isyarat PRK Johor untuk Pelangai?

Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mampu menarik nafas lega apabila dua calon daripada gabungan dalam parti kerajaan memenangi pilihan raya kecil (PRK) pada 9 Sept lalu.

Ini selepas Kerajaan Perpaduan menerima tamparan hebat pada pilihan raya negeri 12 Ogos lalu, yang menyaksikan kemenangan besar Perikatan Nasional (PN) di tiga negeri dan dalam masa sama berjaya menembusi negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Harapan-BN.

Pada 7 Okt ini, kerajaan pimpinan Anwar akan menghadapi satu lagi ujian menerusi PRK kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, di mana BN akan cuba mempertahankan kerusi itu daripada dirampas oleh PN.

Situasi di Pelangai sangat genting kerana Pahang tidak mempunyai undang-undang yang menghalang wakil rakyat melompat parti dan terdapat spekulasi bahawa kemenangan PN boleh menyebabkan kesan domino, yang boleh membawa kepada perubahan mendadak kerajaan.

Untuk memahami trend pengundian yang bakal berlaku pada PRK DUN Pelangai, artikel ini meninjau perubahan dalam sentimen pengundian pada PRK 9 Sept di Pulai dan Simpang Jeram di Johor.

Kemaraan PN di kawasan bandar

PH memperoleh kemenangan yang meyakinkan di Pulai dan Simpang Jeram, terutama di Pulai, yang merupakan kawasan bandar dan terletak di Johor Bahru.

Walaupun peratusan keluar mengundi hanya 47.3 peratus, PH yang mendapat sokongan rata-rata daripada penduduk bandar dan bukan Melayu, memperoleh 61.6 peratus undi, menjadikan Pulai sebagai kerusi “sangat selamat” (lebih daripada 60 peratus pecahan undi) daripada kerusi "selamat" (antara 55 peratus dan 60 pecahan undi) pada pilihan raya umum 2022.

Setelah meneliti dengan lebih dekat data pengundian secara terpeinci, didapati bahawa sebenarnya PN lebih banyak mendapat keuntungan.

PN merapatkan jurang meskipun tewas semasa PRK Simpang Jeram dan Pulai

DUN Pulai dibahagikan kepada 40 daerah mengundi. Pada PRU 2022, PN tidak mempunyai majoriti mutlak atau mendapat lebih 50 peratus undi di mana-mana daerah mengundi.

Bagaimanapun pada pilihan raya kecil 9 Sept, PN menang 15 daerah mengundi.

Di daerah mengundi Sri Jaya - yang merupakan 77 peratus pengundi Melayu di Johor Bahru - PH mengekalkan jumlah undi yang hampir sama seperti pada 2022.

Bagaimanapun, jumlah undi yang diterima PN meningkat sebanyak 50 peratus. .

Justeru, terdapat bukti menunjukkan majoriti besar mereka yang mengundi BN di Sri Jaya tahun lepas telah memindahkan undi mereka kepada PN.

Situasi yang sama berlaku di 15 daripada 20 daerah mengundi yang merupakan kawasan majoriti Melayu di Pulai. Daripada 15 daerah mengundi, daerah mengundi dengan peratusan pengundi Melayu terendah ialah Tarom (58 peratus Melayu), yang menyaksikan PN meningkatkan jumlah undi mereka sebanyak 55 peratus.

PH hanya mampu memenangi lima daerah mengundi di kawasan majoriti Melayu. Daripada lima itu, daerah mengundi dengan peratusan pengundi Melayu tertinggi ialah Jalan Tampoi (60 peratus Melayu).

Walaupun BN berkampung di Pulai, usaha mereka nampaknya tidak membuahkan hasil apabila pecahan undi PH di 40 daerah mengundi meningkat hanya 6 peratus secara purata, manakala pecahan undi PN meningkat sebanyak 22 peratus.

Beberapa daerah mengundi yang dimenangi BN pada 2022 telah diambil alih oleh PN.

Anehnya, prestasi PN di Simpang Jeram - kawasan luar bandar di mana PAS biasanya menunjukkan prestasi yang lebih baik - kurang memberangsangkan.

Daripada 11 daerah mengundi, PN hanya menang empat daerah mengundi. Daerah mengundi dengan bilangan pengundi Melayu terendah yang dimenangi PN ialah Jalan Haji Abdullah, di mana 63 peratus pengundi adalah Melayu.

Peningkatan pecahan undi PN juga lebih sederhana berbanding Pulai, meningkat sebanyak 16 peratus secara purata, manakala pecahan undi PH meningkat 10 peratus secara purata.

Tidak seperti Pulai, PN bermula dengan sokongan yang lebih tinggi di Simpang Jeram. Pada pilihan raya umum 2022, PN memenangi 27 peratus pecahan undi dengan mengetepikan BN.

Di Pulai dan Simpang Jeram, terdapat banyak petunjuk menunjukkan majoriti mereka yang mengundi BN pada 2022 telah memindahkan undi mereka kepada PN, terutamanya di Pulai.

Terdapat juga petunjuk bahawa PH-BN masih bergelut untuk memenangi undi Melayu, kerana kebanyakan daerah mengundi dengan lebih 60 peratus pengundi Melayu berpihak kepada PN.

Walaupun sudah lama diketahui bahawa pengundi Melayu muda di kawasan luar memainkan peranan penting dalam kejayaan PN pada pilihan raya 12 Ogos, terdapat bukti bahawa PN kini menarik minat pengundi teras BN iaitu pengundi yang lebih tua.

Setiap daerah mengundi dibahagikan kepada "saluran". Saluran mengundi ini dinomborkan dan disusun mengikut umur.

Analisis mengenai jurang generasi dalam tingkah laku pengundian yang dijalankan oleh Kini News Lab pada PRU 2022 menunjukkan BN cenderung mendapatkan keputusan lebih baik di “Saluran 1” iaitu saluran pengundi yang lebih tua.

Bagaimanapun, PRK Pulai dan Simpang Jeram menunjukkan PN semakin mendapat tempat di kalangan demografi utama ini.

Pada 2022, BN menang sama ada lebih 50 peratus undi atau majoriti undi dalam 14 dan enam “Saluran 1” masing-masing di Pulai dan Simpang Jeram manakala PN tidak menang satu pun.

Namun kali ini, PN memenangi tujuh Saluran 1 di Pulai dan tiga Saluran 1 di Simpang Jeram.

Walaupun PH juga mendapat keuntungan dengan memenangi lebih banyak "Saluran 1" di kedua-dua kawasan pilihan raya ini, dari segi undi mutlak, PN mencapai “keuntungan bersih” manakala PH mengalami “kerugian bersih” di kedua-dua kawasan pilihan raya itu.

Dalam kalangan pengundi muda, PN setanding dengan PH, dengan memenangi hampir sama jumlah "Saluran terakhir". Bagaimanapun, pecahan undi mereka di kalangan pengundi muda mendapat peningkatan sederhana di kedua-dua kawasan pilihan raya.

Ini mempunyai implikasi besar bagi PN kerana data yang terperinci dari "saluran mengundi" menunjukkan penurunan jumlah keluar mengundi pada PRK 9 September lebih ketara apabila pengundi lebih muda tidak keluar mengundi, menunjukkan bahawa kadar kehadiran yang lebih tinggi kemungkinan akan memberikan prestasi PN yang lebih baik.

Orang Melayu, orang tua, lebih semangat mengundi

Data pengundian terperinci juga menunjukkan bahawa orang Melayu dan pengundi yang lebih tua lebih bersemangat untuk mengundi semasa PRK 9 Sept.

Di daerah mengundi di kawasan majoriti Melayu, jumlah undi yang dikeluarkan berkurangan sebanyak 30 peratus secara purata berbanding pada pilihan raya 2022.

Sebaliknya, di daerah mengundi di kawasan majoriti bukan Melayu, pengurangan jumlah undi adalah lebih tinggi pada purata 40 peratus.

Lebih banyak kawasan bandar cenderung mengalami penurunan peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi.

Daerah mengundi Ayer Molek, Kampong Pahang dan Bandar - tiga daerah mengundi yang paling hampir dengan Tambak Johor - menyaksikan purata penurunan 60 peratus dalam jumlah undi.

Terdapat juga petunjuk bahawa pengundi muda kurang bersemangat untuk mengundi dalam pilihan raya kecil, berdasarkan sampel daerah mengundi yang besar.

Lazimnya, beberapa saluran terawal di daerah mengundi ini akan menyaksikan kadar keluar mengundi yang kira-kira sama berbanding 2022. Bagaimanapun, perbezaan dalam kadar itu lebih ketara dalam saluran terakhir (lihat carta di bawah).

Kesimpulan

Secara ringkasnya, artikel ini cuba melihat perspektif dua kemenangan PH pada PRK 9 Sept - walaupun PH mencapai prestasi yang lebih baik, begitu juga PN.

PH menyertai kedua-dua pilihan raya itu sebagai penyandang manakala PN menduduki tempat ketiga di Pulai dan tempat kedua di Simpang Jeram pada PRU 2022.

Data pengundian terperinci menunjukkan undi yang berpindah dari BN kepada sekutunya PH adalah rendah dan PH secara umumnya menunjukkan prestasi yang lebih baik apabila pecahan undi Melayu berada di bawah 60 peratus.

PN juga memperoleh keuntungan yang besar dalam kalangan pengundi “Saluran 1”, di mana pengundi yang lebih tua dan pada umumnya lebih cenderung untuk mengundi BN pada PRU 2022.

Sokongan terhadap PN dalam kalangan pengundi “termuda” adalah kecil, tetapi sentimen pengundian di kalangan golongan ini menunjukkan sekiranya peratusan keluar mengundi lebih baik, maka PN akan menunjukkan prestasi yang lebih baik.

Akhirnya, keputusan PRK di Simpang Jeram dan Pulai menunjukkan bahawa orang Melayu lebih bersemangat untuk mengundi berbanding dengan rakan bukan Melayu mereka.

Menjelang pengundian di Pelangai, PN akan berada dalam kedudukan lebih kukuh berbanding semasa hari pengundian pada 9 Sept lepas.

Ini kerana PN berada dalam kedudukan permulaan yang lebih baik memandangkan gabungan itu memenangi 40.39 peratus undi di Pelangai pada pilihan raya DUN Pahang pada 2022.

Tambahan pula, Pelangai adalah kawasan pilihan raya dengan majoriti 72 peratus Melayu - dan kawasan majoriti Melayu terbukti sangat mencabar bagi PH dan BN pada pilihan raya negeri 12 Ogos lalu.

Sekiranya trend pengundian di Simpang Jeram dan Pulai berterusan di Pelangai, BN dan PH mungkin menghadapi kesulitan untuk mengekalkan pangkalan sokongan mereka untuk membawa gabungan itu mara ke hadapan.

Nota: Data pilihan raya kecil Simpang Jeram dan Pulai yang dipetik dalam artikel ini adalah daripada sumber tidak rasmi dan bukan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya, yang hanya menjual data tersebut selepas ia diwartakan - proses yang mengambil masa beberapa bulan. Negara seperti Indonesia, Taiwan dan Australia menyediakan data sedemikian tepat pada masanya dan secara percuma.