Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Laungan 'dakwa Zahid', 'reformati' di himpunan anjuran PN

Perhimpunan 'Selamatkan Malaysia' anjuran Perikatan Nasional (PN) menyaksikan lebih 1,000 orang berkumpul selama kira-kira sejam di jalan raya di depan kompleks beli belah Sogo di Kuala Lumpur - yang cukup dikenali sebagai lokasi banyak protes terhadap ahli politik dan kerajaan sebelum ini.

Polis menganggarkan kira-kira 850 orang hadir manakala pengajur mendakwa seramai 10,000 yang menyertai perhimpunan itu.

Tiada pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) pada hari ini, hanya dua baris polis yang berkawal bagi menghalang peserta ke jalan raya menuju ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi.

Selama kira-kira sejam, barisan pemimpin yang berucap menyuarakan bantahan dan kritikan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Antaranya Setiausaha PN Selangor Dr Afif Bahardin yang menyindir Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail kerana menyifatkan penganjur sebagai "menghina" Hari Malaysia.

"Kau jadi menteri bukan sebab bukan sebab rakyat pilih, kau kalah pilihan raya.

"Kau jadi menteri sebab Anwar sayang kau, sebab tu kau jadi menteri.

"Dia (Saifuddin) kata kita hina 16 Sept, saya nak bagi tahu dulu 16 Sept ada orang sibuk cari ahli parlimen nak tumbangkan kerajaan," katanya.

Afif dipercayai merujuk dakwaan Anwar pada 16 Sept tahun 2008 yang ketika itu ketua pembangkang mengatakan lebih daripada 31 ahli parlimen BN menyertai Pakatan Rakyat untuk menubuhkan pentadbiran baru. Bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan.

Dr Afif Bahardin

Perhimpunan bermula selepas sembahyang Zohor di Masjid Jamek Kampung Baru.

Walaupun penganjur menyatakan perhimpunan ini untuk menyambut Hari Malaysia, tumpuan utamanya adalah membantah keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) terhadap Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah, salahguna kuasa dan pengubahan wang haram.

Aktivis PN, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dan Tun Faisal Ismail Aziz dari Bersatu pada mulanya berucap di hadapan orang ramai dari sebuah trak pikap, dan memaklumkan mereka akan membuat laporan polis di IPD Dang Wangi bagi menggesa Zahid didakwa semula.

Chegubard

Chegubard berkata hadirin tidak diminta untuk turut sama ke IPD agar tiada perarakan, tetapi mereka "bebas berbuat demikian" jika ingin menunjukkan sokongan.

Hadirin kemudian bergerak sambil melaungkan "dakwa Zahid" dan "reformati".

Setakat jam 2 petang, penyokong yang hadir berarak ke IPD Dang Wangi sambil diawasi beberapa anggota polis.

Ramai daripada mereka dilihat memakai lilit kepala bertulisan 'Selamatkan Malaysia' yang dijual di tepi jalan, sambil terus melaungkan slogan "tolak Zahid!" "dakwa Zahid!" "reformati!" dan "beras dah mahal!".

Ramai juga hadirin yang membawa Jalur Gemilang.

Anggota polis trafik dan anggota polis biasa dilihat tidak menghalang perarakan itu, dan hanya mengawal keadaan.

Beberapa pimpinan politik termasuk ketua penerangan Pejuang, Rafique Rashid Ali memuji anggota polis kerana berjaya mengawal perhimpunan itu dan membenarkan orang ramai berhimpun.

Hadirin kemudian bersurai secara aman pada jam kira-kira 3.30 petang.