Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

20 tahun kayuh keliling dunia untuk sampaikan kesedaran mengenai AIDS

Somen Debnath menghabiskan 19 tahun lalu untuk berbasikal menjelajah 182 negara bagi menyebarkan mesej kesedaran mengenai HIV/AIDS, terutamanya kepada mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

Bermula dengan kayuhan selama tiga bulan pada tahun 2004 akhirnya menjadi kayuhan selama bertahun-tahun, Somen bercadang membina sebuah muzium dan membuka kampung di tempat kelahirannya, West Bengal, India, apabila dia berhenti berbasikal kelak.

Sepanjang tempoh perjalanannya Somen dirompak tidak kurang 28 kali termasuk ditahan selama tiga minggu oleh Taliban pada 2007.

Dalam tempoh itu juga dia menemui 72 perdana menteri. Bagaimanapun bagi Somen, yang berusia 40 tahun, dia percaya tugas utamanya adalah untuk menyampaikan pesanan mudah kepada orang-orang biasa.

Awal minggu ini, Somen singgah di pejabat Malaysiakini untuk berkongsi pengalamannya.

"Ia bermula pada Mei 2004 sebagai perjalanan untuk menyebarkan kesedaran mengenai HIV. Tetapi seiring waktu, ia juga menjadi perjalanan untuk menyebarkan budaya dan identiti India, dan pesanan kasih sayang.

"Saya dilahirkan dalam Hindu tetapi saya percaya kepada kemanusiaan. Terdapat banyak komuniti hebat di luar sana dan kuncinya adalah untuk menemui orang ramai,” katanya.

Somen berasal dari Basanti, West Bengal serta merupakan graduan dalam bidang zoologi, antropologi dan seni halus.

Ketika remaja dia menjalani latihan di West Bengal State AIDS Control Society dan melihat ada keperluan untuk menyebarkan mesej kesedaran mengenai HIV dan Aids.

"Tujuan utama saya adalah untuk memupuk kesedaran di kalangan golongan muda berusia 14 hingga 30 tahun kerana itu adalah golongan yang berisiko tinggi.

“Saya fikir ini adalah cara untuk memberi impak kepada masyarakat," katanya.

[Baca berita penuh]