Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN: Larang perlombongan di kawasan sensitif alam sekitar

ULASAN | Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyeru agar kerajaan persekutuan dan negeri melarang perlombongan termasuk unsur nadir bumi (REE) di kawasan sensitif alam sekitar (ESA) seperti di hutan simpan kekal.

Seruan ini adalah sebagai tindak balas kepada dasar baru kerajaan untuk mengharamkan eksport REE bagi melindungi rantaian nilai sumber untuk membina industri pertengahan dan hiliran.

Larangan eksport ini adalah baik kerana sebaliknya ia akan mengelakkan tekanan ke atas kawasan sensitif alam sekitar kita lanjutan daripada dorongan peningkatan permintaan global untuk mineral kritikal sedemikian yang diperlukan untuk teknologi berkaitan iklim.

Walaupun kami memahami logik pengharaman eksport sedemikian demi kepentingan domestik, kami tidak menyokong perlombongan unsur nadir bumi walaupun untuk tujuan negara kita, terutamanya apabila kebanyakan sumber ini terletak di kawasan sensitif alam sekitar termasuk dalam hutan simpanan kekal dan ekosistem kepelbagaian biologi.

Sememangnya terdapat keperluan bagi kerajaan bersikap telus sepenuhnya di mana sumber unsur nadir bumi berada dan mengenakan larangan ke atas aktiviti perlombongan di kawasan sensitif alam sekitar.

Tidak cukup dengan bercakap mengenai perlombongan secara mampan atau bertanggungjawab, kerana kawasan sensitif alam sekitar mengikut definisi mestilah dilindungi sepenuhnya.

Membenarkan perlombongan unsur nadir bumi dalam kawasan sensitif alam sekitar ini bukan sahaja akan menyebabkan kesan alam sekitar dan sosial yang teruk, ia juga bertentangan dengan dasar iklim dan biodiversiti sedia ada.

Perlombongan unsur nadir bumi dalam hutan simpan adalah bercanggah dengan Akta Perhutanan Negara 1984 dan objektif Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan.

Kedua-dua cara perlombongan terbuka konvensional dan perlombongan larut resap setempat atau in-situ memberikan kesan alam sekitar dan kesihatan sosial yang serius terutamanya jika ia terletak di kawasan sensitif alam sekitar atau melibatkan hak tanah adat Orang Asal dan Orang Asli.

Perlombongan larut resap in-situ masih memerlukan pembersihan satu pertiga daripada kawasan tumbuh-tumbuhan dan menimbulkan risiko yang lebih serius kepada pencemaran air bawah tanah berbanding perlombongan terbuka.

Penggunaan ammonium sulfat sebagai larutan larut resap boleh menyebabkan pencemaran sulfat, yang akan berterusan lama selepas perlombongan dihentikan. Ia akan berlaku melalui pencemaran nutrien yang lebih teruk di hilir sungai dan takungan, bersama-sama dengan peningkatan pengeluaran mikrob hidrogen sulfida, bahan yang sangat toksik kepada banyak organisma dan tumbuhan akuatik.

Istilah 'unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE)' yang digunakan di Malaysia boleh mengelirukan kerana menurut Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA), untuk menghasilkan 1 tan unsur nadir bumi akan menjana 2,000 tan sisa toksik, termasuk 75 meter padu air sisa dan 1 tan sisa radioaktif.

Selain itu, walaupun benar bahawa tiada pengganti langsung untuk unsur nadir bumi, terdapat cara untuk menghasilkan ‘super magnet’ bebas nadir bumi atau inovasi yang boleh menggantikan motor dan penjana magnet kekal yang tidak memerlukan mineral nadir bumi, dan pasaran sudah mula beralih kepada alternatif.

Penggunaan motor elektrik bukan nadir bumi dijangka meningkat lapan kali ganda menjelang 2030 dan alternatif yang berdaya maju memang wujud untuk menggantikan magnet kekal yang digunakan secara meluas dalam reka bentuk turbin angin dan kenderaan elektrik.

Beberapa pengeluar utama sudah melabur dalam hal ini.

Malaysia juga perlu melabur dalam alternatif kepada penggunaan unsur nadir bumi dan mengambil langkah lebih jauh, bukannya mempromosikan unsur nadir bumi.

Pasaran sudah mula beralih kepada alternatif dan ia adalah trend masa hadapan.

Dalam peralihan Malaysia ke arah tenaga bersih, persoalannya adalah sejauh mana "bersih" dan "adil" peralihan tenaga itu dan akan berlaku.

Jika peralihan tenaga akhirnya memusnahkan ekosistem hutan dan sumber air kita yang penting untuk mengimbangi iklim bumi dan seterusnya memudaratkan komuniti yang sudah pun terdedah serta berada di barisan hadapan kesan iklim, ia bertentangan dengan matlamat iklim serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang lain.


MEENAKSHI RAMAN ialah Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.