DNAA Zahid: Hassan pertahan PM tapi minta penjelasan diberikan
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim meminta supaya Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberikan penjelasan berhubung keputusan mahkamah memberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) terhadap Ahmad Zahid Hamidi, yang menimbulkan rasa tidak puas hati oleh banyak pihak, terutamanya di blok pembangkang.
Menurut Hassan, meskipun dia berpendirian Anwar tidak campur tangan dalam keputusan itu, katanya penjelasan perlu dibuat untuk berlaku adil kepada pemimpin pembangkang.
“Saya boleh pertahankan perdana menteri… tapi sebaik-baiknya saya mohon kepada perdana menteri, kalau tidak dalam masa terdekat ini, waktu sidang PMQT (waktu pertanyaan kepada perdana menteri pada sesi sidang akan datang), di mana ada masanya saya minta beliau jelaskan sendiri,” katanya ketika sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, ahli parlimen dari PKR itu dalam perbahasan berkongsi perbincangannya secara peribadi antara dirinya dan Anwar sebelum ini berhubung campur tangan dalam kes mahkamah.
Menurutnya, presiden PKR itu turut bersetuju dengan pendapatnya bahawa badan kehakiman perlu bebas tanpa sebarang campur tangan kuasa lain.
Rosol Wahid (PN- Hulu Terengganu) kemudian mencelah dengan mempersoalkan sama ada apa yang dikatakan oleh perdana menteri itu boleh dipercayai atau tidak.
Hassan dengan tegas membalas bahawa dia sebagai anggota parti, mempunyai hak untuk mempercayai apa yang disampaikan oleh pemimpin partinya.
“Saya percaya apa yang beliau kata pada saya. Itu antara dua orang sahabat pemimpin dan anggota partinya, saya ada hak untuk percaya apa yang pemimpin saya cakap.
“I will not throw my leader under the bus (Saya tidak akan membelakangi pemimpin parti saya). Saya akan pertahankan di dalam dewan ini.
“Tetapi untuk berlaku adil, supaya sahabat-sahabat di blok pembangkang dan kami backbenchers ini, kami nak dengar daripada perdana menteri sendiri supaya isu DNAA dinoktahkan juga di dewan ini,” katanya.
Minggu lalu, pendakwa raya menarik balik 47 pertuduhan rasuah terhadap Presiden Umno, Ahmad Zahid dalam kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.
Pengkritik mendakwa terdapat campur tangan kerajaan dalam perkara itu, namun dinafikan Putrajaya.
Sementara itu, Hassan menambah bahawa peguam negara harus bertanggungjawab dalam isu DNAA berkenaan.
“Saya rasakan peguam negara perlu pikul tanggungjawab ini dan amat sesuai jawatankuasa pemilihan hak asasi dan pembaharuan institusi akan panggil peguam negara yang lepas dan yang sekarang ini untuk mendapatkan penjelasan,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai