Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Himpunan 16 September untuk sambut Hari Malaysia - Pemuda PN

Himpunan yang dirancang Pemuda PN Sabtu ini bagi membantah keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid Hamidi ditukar kepada sambutan Hari Malaysia.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selepas memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

“(Kami hadir)beri keterangan berhubung sidang media pada Ahad lalu.

"Tak ada arahan untuk katakan kami tak boleh berhimpun. Jadi kita teruskan," kata Wan Ahmad Fayhsal selepas pertemuan dengan polis selama hampir satu setengah jam.

Turut dipanggil adalah Ketua Pemuda PAS merangkap Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari dan Adun Gombak Setia Hilman Idham.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga ahli Parlimen Machang berkata himpunan yang dijadual berlangsung Sabtu ini juga akan berlangsung secara aman bertemakan ‘Selamatkan Malaysia’.

"Kita akan teruskan dengan himpunan. Himpunan aman, kita sambut Hari Malaysia dengan tema 'Selamatkan Malaysia'.

"Ini bukan demonstrasi, tapi himpunan. Kami tidak akan ke jalan raya. Kita hanya berkumpul bersama bendera Malaysia. Kita beli kunafah, kebab, McDonald’s di sekitar kawasan Bukit Bintang," katanya lagi.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, pertemuan mereka dengan polis hari ini lebih kepada perbincangan untuk memastikan himpunan berjalan dengan aman.

"Kita kerjasama dengan polis. Apa-apa yang berbangkit, kita minta polis selaraskan dengan kita. Sebab itu kita ada mesyuarat malam ini untuk perincikan supaya semua boleh hadir dengan aman. Tak akan ada kekecohan dan tiada simbolisme politik.

"Kita bawa bendera Malaysia, (pakai) baju putih. Bukankah Hari Malaysia satu sambutan? Itu motif dan tema kita," katanya lagi.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin pula berkata program itu pastinya akan diteruskan.

"Malam ini kita adakan libat urus melibatkan pelbagai pihak NGO, parti dan aktivis. Hasil pertemuan dengan polis hari ini juga jadi sebahagian daripada input kita.

“Justeru, kita akan putuskan malam ini supaya selaras dan kita cari cara terbaik supaya suara rakyat boleh disuarakan dengan cara paling baik pada Hari Malaysia," katanya.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata penganjur perlu mematuhi garis panduan demi keselamatan dan kemudahan orang ramai.

Dia sebelum ini pernah didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana gagal memberikan notis kepada polis sepuluh hari sebelum himpunan Blackout 505 di Kelana Jaya, Selangor selepas PRU 2013.

"Secara asasnya dalam Perlembagaan, kita bercakap tentang kebebasan bersuara dan berhimpun, tetapi ia juga tertakluk kepada syarat tertentu. Saya fikir jika mereka ikut peraturan, tak ada masalah.

"Pihak berkuasa juga ada kepentingan untuk memastikan ia dibuat dengan betul," katanya.