Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penduduk Kg Sg Baru kecewa terima notis pengusiran

Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres & Flat Kampung Sungai Baru Kuala Lumpur menzahirkan rasa kecewa dan menuntut penjelasan Perdana Menteri Anwar Ibrahim selepas menerima notis pengusiran buat kali kedua.

Jawatankuasa penduduk itu berkata notis pengusiran tersebut memberi kesan kepada penduduk kampung tersebut yang sebelum ini dijanjikan untuk mengadakan rundingan antara pihak penduduk dan pemaju.

"Isu ini telah memberikan kesan kepada pemilik dan penduduk rumah Kampung Sungai Baru yang sedang menantikan penjelasan daripada pihak kerajaan seperti yang dijanjikan oleh pihak perdana menteri.

"Kami berharap agar isu ini terus mendapat perhatian dan pembelaan daripada kerajaan Perpaduan ini khususnya perdana menteri yang juga memegang portfolio Wilayah Persekutuan dan pihak-pihak berkuasa terlibat seperti PKB, PTG dan DBKL bagi memastikan penduduk Kampung Sungai Baru mendapat hak yang seadil dan sewajarnya," kata mereka pada satu kenyataan hari ini.

Gambar fail, bantahan penduduk atas pengusiran.

Terdahulu, penduduk kampung tersebut pada 5 Sept menerima notis pengusiran daripada Pejabat Pengarah Tanah & Galian (PTG) dan Perbadanan Kampung Bharu (PKB) meminta penduduk yang masih tinggal di kampung menggosongkan sebelum 4 Okt tahun ini.

Notis pengusiran itu dikeluarkan pada kali kedua, di sebalik keputusan perdana menteri pada 13 Jan 2023 untuk menangguhkan pengusiran sehingga satu rundingan semula dengan penduduk dan pihak yang berkepentingan dilaksanakan dan penyelesaian kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru melibatkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak tahun 2016.

Penduduk, terutama penghuni rumah teres, tidak setuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi yang ditetapkan oleh PTGWPKL.

Sebanyak 37 penduduk rumah teres tidak setuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi yang ditetapkan, manakala 27 penghuni lagi bersetuju.

Terdapat juga penduduk yang meminta lanjutan masa untuk berpindah.

Sementara itu, jawatankuasa penduduk turut meminta pihak berkepentingan memberikan ruang untuk rundingan semula antara pemilik rumah dan pemaju seperti yang disarankan oleh perdana menteri.

"Kami menggesa pihak kerajaan agar lebih tegas terhadap tindakan pemaju yang telah memindahkan sebilangan penduduk flat ke rumah transit sebelum mendapat persetujuan seratus peratus penduduk flat dan teres untuk memajukan pembangunan tersebut.

"Kerajaan juga harus memperhalusi dan menyiasat semula tindakan pemaju melalui kerajaan Perikatan Nasional dalam usaha mendapatkan tanah penduduk yang tidak bersetuju secara paksa melalui Akta Pengambilan Tanah yang diwartakan dalam tempoh darurat serta tidak melalui proses persetujuan Parlimen yang menganiaya penduduk sehingga tidak mendapat pembiayaan sewa dan pampasan yang setimpal.

"Sehingga hari ini, tiada wakil daripada jabatan terlibat hadir bagi memastikan kebajikan penduduk yang diusir keluar.

"Isu ini seolah-olah dipandang ringan setelah portfolio Menteri Wilayah Persekutuan dan Jabatan Wilayah Persekutuan diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri sendiri yang menyebabkan penduduk tidak dapat membuat rujukan kepada menteri yang bertanggungjawab," kata para penduduk lagi.