Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

NGO sekali lagi mohon batal projek ladang di hutan Kledang-Saiong

NGO Sahabat Alam Malaysia (SAM) sekali lagi memohon pihak berkuasa agar membatalkan rancangan projek ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong di Kuala Kangsar, Perak.

Pegawai kajian lapangan SAM Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata projek itu akan melibatkan kawasan seluas 4,289 hektar dan dibimbangi akan memusnahkan litupan hutan asal.

"Kaedah pembalakan secara tebang habis tidak tertakluk kepada Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan pensijilan pengurusan hutan secara berkekalan.

"Berdasarkan sumber rujukan, didapati kebanyakan projek pembangunan ladang monokultur (ladang hutan) dilakukan tanpa kawalan walaupun pihak berkuasa yang berkenaan mengakui mempunyai prosedur operasi standard dan telah diluluskan.

"Pelaksanaan pembangunan ladang monokultur dalam hutan simpan kekal menyebabkan fungsi kepelbagaian biologi hutan terjejas dan kawasan tersebut tidak lagi mampu melakukan pelbagai fungsi ekologi," katanya dalam kenyataan.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan berkenaan cadangan menjadikan kawasan seluas 5,994 padang bola di Hutan Simpan Kledang Saiong sebagai tapak pembangunan dan operasi ladang sehingga 50 tahun.

Menurut laporan impak alam sekitar (EIA) projek itu yang dilihat Malaysiakini, projek itu bertujuan untuk menanam hasil hutan dalam bentuk kayu - dengan eucalyptus, khaya dan kelampayan menjadi pilihan utama.

Pada Februari lalu, SAM dan beberapa NGO alam sekitar telah menyerahkan memorandum kepada Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, dan mereka memohon agar Sultan Perak Sultan Nazrin Shah campur tangan untuk melindungi hutan simpan kekal itu.