Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Demo Pemuda PN jejas sambutan Hari Malaysia - SU PH Sabah

Rancangan Pemuda Perikatan Nasional (PN) untuk mengadakan demonstrasi pada sambutan Hari Malaysia, Sabtu ini akan menjejaskan perayaan nasional itu yang sepatutnya disambut dengan penuh keharmonian, kata Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sabah Mustapha Sakmud.

Beliau berkata sambutan Hari Malaysia pada tahun ini amat bermakna kerana negara bakal menyambut 60 tahun pembentukan Malaysia.

“Sepatutnya ulang tahun ke-60 ini dijadikan wadah untuk mendidik generasi muda tentang sejarah dan intipati pembentukan Malaysia dan bagaimana kita merencana agenda masa depan negara ini.

"Mengajak generasi muda untuk turun berdemonstrasi bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia bukan saja tidak menghormati perayaan nasional ini, tapi memberi isyarat yang tidak baik kepada generasi muda negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Justeru, Mustapha yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berharap generasi muda yang sayangkan negara supaya berfikiran rasional dan tidak terjebak dengan seruan berdemonstrasi itu.

Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berusaha untuk memastikan generasi muda negara ini dapat menikmati kehidupan lebih baik menerusi akses pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan baru, gaji progresif serta jaringan perlindungan komprehensif.

“Marilah kita bersama-sama meraikan sambutan ulang tahun Hari Malaysia ke-60 dengan tekad dan semangat baharu dalam memastikan negara ini akan terus diperkasakan dan menjadi antara peneraju ekonomi di rantau ini.

“Generasi muda perlu mencorakkan masa depan negara ini dengan teras keharmonian dan perpaduan yang dihasratkan oleh generasi terdahulu,” katanya.

- Bernama