Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sekarang bukan waktu sesuai laksana GST - MP DAP

PARLIMEN | Seorang ahli parlimen DAP meminta kerajaan supaya tidak melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) buat masa ini kerana berpendapat ia bukan waktu yang sesuai.

Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berkata isu berkenaan diperjuangkan PH sehingga kerajaan BN tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

"Sebelum 2018, pada 2015 apabila kerajaan sebelum laksanakan GST, kita bangkang sehingga kita menangi (PRU14).

"Ini masih bukan lagi masa sesuai untuk laksana GST. Kita mesti jaga dan faham beban rakyat.

"Harap menteri ekonomi faham, jangan laksana GST (buat) masa ini," katanya ketika berbahas pada sesi khas Dewan Rakyat, hari ini.

Semalam, media melaporkan kerajaan sedia untuk mengkaji pelbagai pendekatan bagi mencapai kemampanan fiskal termasuk melalui pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Bagaimanapun, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (gambar, atas) berkata apa saja keputusan yang akan dibuat kerajaan kelak bakal dimaklumkan oleh Kementerian Kewangan (MOF).

"Kami terbuka untuk melalui apa sahaja cara yang kami boleh untuk mencapai kemampanan fiskal ini melalui asas hasil yang lebih luas, sama ada cukai keuntungan modal, GST atau apa-apa bentuk cukai langsung atau tidak langsung," katanya pada sidang media di lobi parlimen.

Ahli Parlimen BN Paya Besar Mohd Shahar Abdullah (gambar, atas) ketika sesi perbahasan di parlimen hari ini menyokong usaha kerajaan untuk melaksanakan kembali GST.

Menurutnya, ia satu langkah tepat jika GST mampu meningkatkan kembali pendapatan negara yang akhirnya dapat memanfaatkan rakyat.

Katanya lagi, negara kehilangan sekitar RM17 ke RM18 bilion selepas tindakan menghentikan sistem percukaian itu.

"Saya menyokong jika kita ingin melaksakan kembali GST...kita rugi RM17 ke RM18 bilion apabila tidak laksanakan GST," jelasnya.