Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pinda laporan audit: Najib, Arul Kanda kekal bebas

Najib Razak dan Arul Kanda Kandasamy hari ini kekal dibebaskan daripada pertuduhan salah guna kuasa yang melibatkan dakwaan meminda laporan audit 1MDB.

Mahkamah Rayuan membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh yang ditetapkan undang-undang.

Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim bersidang hari ini berkata pihak pendakwaan pada mulanya mempunyai masa sehingga 6 Julai untuk memfailkan petisyen rayuan mereka.

Mereka kemudian diarah oleh pendaftar mahkamah untuk mendapatkan lanjutan masa bagi mengemukakan rayuan.

"Pada masa pengurusan kes, perayu telah diberikan arahan untuk memfailkan petisyen rayuan, tetapi telah gagal mematuhi arahan mahkamah,” kata Hadhariah.

Justeru kata hakim terbabit mereka memerintahkan supaya dua notis rayuan pihak pendakwaan sebelum ini dibatalkan.

Katanya keputusan itu dibuat berdasarkan undang-undang yang ada.

Najib didakwa menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu untuk mengarahkan pindaan dibuat pada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2016 untuk menghalang sebarang tindakan terhadapnya.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan.

Hadhariah memetik Seksyen 53(1) dan 53(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 mengenai peruntukan masa untuk memfailkan petisyen rayuan, dan bagaimana luputnya akan mengakibatkan notis itu dibatalkan kecuali sebarang lanjutan masa diberikan.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya Yusaini Amer Abdul Karim memohon supaya mahkamah memberi lebih masa lagi untuk pihaknya memfailkan petisyen rayuan.

Yuslaini berhujah, memandangkan pertuduhan adalah atas perkara kepentingan awam, pendakwa memerlukan lebih banyak masa untuk mengkaji semula alasan pembebasan sebelum memfailkan petisyen rayuan berkenaan.

Hadhariah bagaimanapun berkata, dengan arahan yang diberikan pernah semasa semasa tiga sesi pengurusan sebelum ini - kali terakhir pada 30 Ogos lalu - tiada alasan untuk perayu gagal berbuat demikian.

"Anda tidak boleh mencipta garis masa anda sendiri," katanya.

Sementara itu peguam Najib, Shafie Abdullah, membangkitkan bantahan terhadap permintaan itu dengan menegaskan bahawa pihak pendakwaan diberi masa yang cukup sejak awal 6 Julai lalu.

“Di sini kita sedang berurusan dengan pembebasan [...] pendakwa raya tidak mempunyai sebab untuk memfailkan lewat.

"Ini menunjukkan mereka tiada niat untuk meneruskan (petisyen rayuan)," kata Shafie.

Ditemui pemberita kemudian, Arul Kanda yang merupakan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB berkata, keputusan hari ini telah membuktikan kebenaran.

“Di mahkamah tinggi, pihak pembelaan tidak dipanggil pun, tiada kes prima facie.

"Dan saya rasa itu menunjukkan kekuatan posisi kami dan saya fikir dengan keputusan yang diberikan Mahkamah Rayuan hari ini - yang menggunakan undang-undang dengan betul - saya rasa kami telah dibuktikan (tak bersalah).

"Sudah tiba masanya untuk saya dan keluarga melupakannya," kata Arul Kanda.

[Baca laporan asal]