Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Mahkamah Syariah sedia dengar kes tuntutan harta Jamaluddin Jarjis

Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bersedia untuk mendengar tuntutan harta sepencarian RM2.1 bilion berhubung harta pusaka Allahyarham Jamaluddin Jarjis.

Hakim Syarie Abdul Shukor Abd Hamid hari ini dimaklumkan oleh peguam bela ibu Allahyarham, Aminah Abdullah, serta balu Jamaluddin dan empat anaknya, bahawa pihak-pihak terlibat gagal menyelesaikan pertikaian membabitkan harta pusaka bekas ahli parlimen Umno itu.

Jamaluddin meninggal dunia dalam nahas helikopter pada April 2015.

Antara hartanah tersebut ialah rumah di Malaysia, Arab Saudi, dan Amerika Syarikat - sebagai sebahagian daripada harta pusaka. Harta pusaka itu juga termasuk saham milik Allahyarham dan yang didakwa diberikan kepada cucunya.

Bagi prosiding hari ini, plaintif ialah balu Jamaluddin, Kalsom Ismail, 66, manakala defendan ialah Aminah, 89, dan empat anak balu itu.

Ketika ditemui media selepas prosiding Syariah, peguam Aminah Nur Hidayah A Bakar mengesahkan apa yang berlaku.

"Mahkamah telah menetapkan 9 Okt untuk pengurusan kes," kata peguam syarie itu sambil menambah pengurusan kes adalah untuk menetapkan tarikh perbicaraan penuh.

Sebelum ini, media melaporkan enam orang yang terlibat dalam pertikaian termasuk empat anak Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla telah mengadakan rundingan mediasi bagi cuba menyelesaikan perkara itu.

Kalsom memfailkan tuntutan harta sepencarian, termasuk 20 hartanah di Malaysia, Makkah, dan beberapa syarikat pada Oktober 2018 terhadap empat anak dan ibu mertuanya.

Pada 28 Ogos tahun lalu, mahkamah yang sama membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda samannya, membabitkan hartanah di Boston, Massachusetts, dikeluarkan daripada penyata tuntutan.

Selain itu, pindaan itu turut membabitkan saham dalam Rantai Wawasan Sdn Bhd, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan Jamaludin ketika mengalami sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Selangor.

Jamaluddin, yang pernah menjadi duta Malaysia ke AS, terkorban pada 4 April 2015, selepas helikopter yang dinaikinya dari Pekan, Pahang, dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, terhempas di Kampung Sungai Pening di Semenyih, Selangor.

Nahas itu turut mengorbankan juruterbang, Clifford William Fournier, setiausaha sulit bekas perdana menteri Najib Razak, Azlin Alias, ahli perniagaan Tan Huat Seang, pembantu peribadi Jamaludin, Razakan Seran, dan seorang wanita dikenali sebagai Aidana Baizieva.