Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Guan Eng ingatkan PN: PH masih mendahului undi popular dalam PRN

Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng mengingatkan Perikatan Nasional (PN) bahawa gabungan Pakatan Harapan (PH)-BN masih memperoleh undi popular dalam enam pilihan raya negeri (PRN) bulan lepas.

Dalam ucapan perasmiannya di Kongres Kebangsaan DAP hari ini, Lim berkata dia yakin PN akan mendakwa mereka tidak kalah dalam pilihan raya kecil (PRK) semalam susulan peningkatan undi diperoleh gabungan itu.

“Saya nak ingatkan PN bahawa mereka pernah sebut PRN 6 negeri adalah referendum rakyat terhadap pimpinan Perdana Menteri. Tetapi PH-BN menang undi popular dengan 49.5% berbanding dengan PN 49.3%.

“Perkara pokoknya ialah rakyat Malaysia tolak PN dan kita harus bina kemenangan di Johor sebagai satu landasan untuk memenangi balik semula kawasan PN.

"Kita tidak akan terikut-ikut dengan permainan kotor politik parti lawan yang memainkan sentimen kaum dan ekstremisme," katanya pada majlis yang diadakan di Putrajaya.

Tambah Lim, politik fitnah hanya menghasut kebencian dan ancaman memecahbelahkan negara serta tidak membawa manfaat kepada rakyat.

Semalam, Suhaizan Kaiat daripada Amanah memenangi kerusi Parlimen Pulai dengan 48,283 undi, berbanding calon PN Zulkifli Jaafar yang tewas dengan 18,641 undi majoriti.

Zulkifly bagaimanapun dilaporkan berpuas hati kerana PN berjaya mengurangkan majoriti kemenangan PH di kerusi itu.

“Kami kalah dengan bermaruah. Majoriti undi sebelum ini amat besar, kali ini kita telah mengurangkan majoriti lebih 10,000 undi. Kami cuba yang terbaik,” katanya dipetik FMT.

PN telah memenangi 29,642 undi - peningkatan 43.4 peratus berbanding pilihan raya umum ke-15 (PRU15) pada Nov tahun lalu.

Selain itu PN memenangi 10,330 undi di Simpang Jeram, merekodkan peningkatan 62.7 peratus berbanding pilihan raya negeri Johor pada Mac 2022.

Bagaimanapun, jumlah sebenar pengundi yang menyokong PN juga meningkat hampir 9,000.