Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PH kekal kemenangan di Pulai dengan majoriti selesa

Calon PH Suhaizan Kaiat memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Pulai dengan majoriti 18,641 undi sekali gus membolehkan parti itu mempertahan kawasan yang dimenangi Allahyarham Salahuddin Ayub sebelum ini.

Suhaizan, yang bertanding buat kali ketujuh dalam pilihan raya, memperoleh 48,283 undi bagi menewaskan dua pencabarnya iaitu Zulkifli Jaafar daripada PN dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi yang masing-masing mendapat 29,642 undi serta 528 undi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kerusi Parlimen Pulai Miswan Yunus pada 10.09 malam di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Johor Bahru malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan Suhaizan menjadi ahli parlimen pertama mewakili kerajaan perpaduan yang dibentuk menerusi dukungan gabungan PH-Barisan Nasional (BN).

Keputusan itu turut menyaksikan Samsudin terpaksa berputih mata apabila hilang wang deposit.

Suhaizan yang juga naib pengerusi Amanah Johor adalah anak didik Salahuddin dan pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Allahyarham.

Dia pernah bertanding dalam enam pilihan raya di pelbagai kawasan sejak 2004 antaranya Parlimen Parit Sulong, Parlimen Simpang Renggam (2013), DUN Kukup (2018) dan DUN Pulai Sebatang (2022).

Pada PRU15, Salahuddin menang dengan majoriti undi 33,174 apabila memperoleh 64,900 undi di kerusi Parlimen Pulai.

Terdahulu, sejumlah 165,509 pemilih berdaftar di Parlimen Pulai layak memilih wakil rakyat baru bagi menggantikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu yang meninggal dunia pada 23 Julai lepas.

Sebanyak 47 pusat pengundian dengan 294 saluran bagi Parlimen Pulai dibuka tepat lapan pagi dan ditutup pada enam petang tadi.

-Bernama