Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Khaled: Taktik PN ketika PRN tak menjadi di Johor

Pemimpin Umno Johor tiba di pusat perkumpulan PH bagi meraikan kemenangan dalam PRK Simpang Jeram dan Pulai.

Barisan itu diketuai Pengerusi Umno Johor Mohd Khaled Nordin dan turut disertai Setiausaha Agung Ahmad Maslan, Ketua Wanita Noraini Ahmad dan Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azlene Ambros.

Walaupun keputusan rasmi bagi PRK Pulai belum diumumkan, jelas PH semakin hampir mencapai kemenangan.

Khaled dalam ucapannya berkata, apa yang menjadi kebimbangan Umno adalah keputusan PRN enam negeri, yang didominasi PN, akan mempengaruhi PRK ini.

"Namun keputusan hari ini memberi mesej jelas yang Johor tidak termakan dengan sentimen (kaum dan agama) dan fitnah yang dimainkan di (PRN) enam negeri," katanya kepada kira-kira 300 penyokong.

Sementara itu, Noraini mengalu-alukan "kawan baru Umno di Parlimen".

"Kami (Wanita Umno) sedia berkhidmat, untuk bantu BN dan PH," kata ahli Parlimen Parit Sulong itu.

Ahmad pula sempat menghiburkan kalangan yang hadir dengan beberapa rangkap pantun.

Sementara itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu mengakui dia juga agak bimbang ekoran keputusan dalam PRN lalu.

"Selangor yang kita pegang lebih tiga penggal, tiba-tiba PN menang 22 kerusi.

"Ia buat kita bimbang bagaimana nak tangani PRK di Johor ini," katanya.

Dia menyuarakan penghargaan kepada Umno kerana banyak membantu Amanah dan PH dalam mengekalkan kemenangan di Pulai dan Simpang Jeram.

"Saya lihat Umno Johor bersungguh-sungguh dan ia beri saya keyakinan.

"Ini kemenangan besar buat kita berjaya tangani 'gelombang pelampau' dan Umno banyak bantu kita dalam usaha ini," katanya lagi.

Mohamad berkata Amanah akan memberikan sokongan kepada BN bagi mengekalkan kerusi DUN Pelangai dalam PRK akan datang.