Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PRK JOHOR | Proses pengundian berjalan lancar, cuaca lembap

PRK JOHOR | Calon PH Nazri Abdul Rahman tiba di pusat pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Pei Chai untuk mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Nazri, 56, yang berbaju kemeja putih tiba jam 9.47 pagi ditemani isterinya, Siti Seri Azura Ahmad, sebelum mengundi di saluran dua. Siti Seri Azura, 43, kemudian mengundi di saluran tiga.

Ketika ditemui kemudian, Nazri berkata, dia berpuas hati dengan peratusan keluar mengundi setakat ini dan gembira dengan kehadiran anak muda seawal jam 8 pagi di pusat mengundi DUN Simpang Jeram.

"Mudah-mudahan semakin ramai yang akan terus keluar mengundi.

“Boleh dikatakan agak memberangsangkan juga kerana bukan sahaja warga emas tapi anak muda pun dah mula beratur seawal 8 pagi tadi.

“Mungkin anak muda ramai keluar mengundi awal dah pun pergi bekerja. Insya-Allah saya rasa pada tengah hari atau petang ini, lebih ramai anak muda akan keluar untuk mengundi,” katanya.

Nazri Abdul Rahman bersama Siti Seri Azura Ahmad

Tambahnya dia juga mengharapkan kehadiran pengundi yang positif ini merupakan signal yang baik buat kerajaan perpaduan.

“Saya menyeru kepada mereka yang belum bangun tidur, cepat-cepat, jangan lambat-lambat.

“Anak muda kena bangkit tunaikan tanggungjawab anda sebagai pengundi bagi memastikan legasi pentadbiran kerajaan perpaduan terus berjalan khususnya di Simpang Jeram, insya-Allah,” tambahnya.

Seramai 40,301 pemilih berdaftar berhak mengundu untuk menentukan wakil rakyat mereka pada PRK DUN Simpang Jeram, hari ini.

Petang diramal hujan

Sementara itu di Pulai cuaca hujan mungkin menjejaskan peratusan orang yang keluar mengundi.

Jam pertama di Sek Keb Seri Melati di Tampoi menyaksikan peratusan pengundi dalam kalangan warga emas lebih tinggi.

Calon kerajaan perpaduan, Suhaizan Kaiat, bersama isterinya Dr Norsham Idris tiba di pusat pengundian kira-kira jam 9 pagi sebelum mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing di saluran tiga.

“Saya harap semua orang dapat keluar lebih awal hari ini untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.

"Kami berharap dapat mencapai kadar keluar mengundi 70 peratus dan ke atas. Cuaca suram, jadi lebih baik kalau orang ramai dapat keluar sekarang," katanya di luar kawasan sekolah.

Suhaizan Kaiat bersama isteri, Norsham Idris

Pada jam terawal pusat pengundian dibuka, pengundi warga emas tiba sama ada bersama rakan, anak atau pasangan masing-masing.

Bagi pengundi yang memerlukan kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera menawarkan kerusi roda kepada mereka.

Terdapat 47 pusat mengundi dibuka di Pulai bagi memudahkan 165,509 pemilih berdaftar.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan keadaan cuaca hujan di sebelah pagi di kedua-dua kawasan, manakala ribut petir pada waktu petang.

Kedua-dua PRK hari ini menyaksikan saingan tiga penjuru di antara calon PH, PN dan calon Bebas.

Di Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman (PH) akan bertemu pakar bedah Dr Mohd Mazri Yahya (PN) dan calon bebas S Jeganathan, manakala Suhaizan dicabar Zulkifli Jaafar (PN) serta Samsudin Mohamad Fauzi (bebas).

Zulkifli dan Samsudin tidak mengundi kerana mereka bukan pemilih berdaftar di kawasan parlimen Pulai.

PRK diadakan susulan kekosongan luar jangka akibat pemergian penyandangnya Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Setakat jam 10 pagi tadi, SPR mencatatkan kadar keluar mengundi di Simpang Jeram ialah 18 peratus, manakala di Pulai 13 peratus.