Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Di kempen terakhir, Amanah gesa jangan benarkan 'pelampau' masuk Johor

Gesaan agar kemaraan PAS dihalang di Johor sekali lagi disuarakan, kali ini oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu di malam terakhir kempen untuk PRK Simpang Jeram.

Mohamad berkata ia bagi mengelakkan apa yang disifatkannya sebagai politik pelampau dan ekstrem daripada subur di negeri itu.

“Utamakan perpaduan. Jangan izinkan golongan pelampau masuk ke Johor dan kembangkan pengaruh mereka.

“Kekalkan perpaduan ini, kita boleh berbeza pandangan politik. Tidak mengapa.

“Tapi jangan mengatakan kamu ahli neraka, kamu tak masuk syurga, kami masuk syurga. Kunci syurga, neraka dekat sapa?

“Jangan (biarkan) unsur itu masuk ke Johor,” katanya di program Santai Perpaduan Keluarga Simpang Jeram di Dataran Cenderawasih, Muar, malam ini.

Sementara arus "gelombang hijau" kuat melanda ketika PRN di enam negeri lalu, PN pada masa ini hanya memiliki satu kerusi DUN di Johor, iaitu Maharani yang dipegang PAS.

Sehari selepas penamaan calon, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dalam usahanya untuk membangkitkan semangat jentera Umno di Simpang Jeram menegaskan bahawa PAS tidak boleh dibiarkan bertapak di Johor.

Pada masa sama Zahid mengakui PAS mempunyai tapak yang kuat di kawasan DUN itu.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi juga menyuarakan perkara sama dengan berkata "Tidak ada seinci pun kita biarkan untuk mereka bertapak di Johor".

Sementara itu, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Khaidirah Abu Zahar mengingatkan pengundi di Simpang Jeram dan Pulai agar terus menyokong kerajaan perpaduan ketika hari mengundi esok.

“Ikat janji dengan saya, kuatkan semangat walau apa dugaan yang mendatang, walau apa juga tawaran yang nak diberikan (pihak lawan), yang ini macam 'bom'.

“(Dugaannya) macam menunggu waktu berbuka puasa, yang ni hujung-hujung itu lagi banyak dugaannya," katanya lagi.

Esok, pengundi Simpang Jeram akan membuat pilihan antara calon PH dari Amanah, Nazri Abdul Rahman dan calon PN dari PAS, Dr Mohd Mazri Yahya.