Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Syed Saddiq: DAP sudah jadi ‘lapdog’ Zahid

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari menuduh DAP sebagai ‘lapdog’ kepada Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

Bidasan itu dibuat susulan kenyataan naib pengerusi DAP Nga Kor Ming yang menasihatkannya supaya berbincang dengan kepimpinan kerajaan campuran sebelum mengugut untuk menilai semula sokongannya.

Mengulas kenyataan Nga, Syed Saddiq turut melabelkan DAP sebagai “hipokrit, gila kuasa, dan tiada prinsip."

Melalui satu hantaran di applikasi X, presiden Muda itu berkata Nga pernah menuduh presiden Umno itu korup, dan bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob sebagai boneka Zahid.

“Kini dia yang jadi puppet sucikan orang korup kerana jawatan menteri,” ciapnya.

Isnin lalu, Syed Saddiq memberi amaran untuk menilai sokongan terhadap kerajaan serta turun ke jalan raya jika tiada penjelasan diberikan dalam kes mahkamah Zahid yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

Nga dalam reaksinya berkata bahawa adalah lebih "profesional" untuk Syed Saddiq membincangkan perkara itu dengan kepimpinan kerajaan hari ini.

Menteri itu menambah bahawa DAP tidak akan sekali-kali menarik balik sokongannya kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di sebalik kemelut yang menyelubungi pelepasan yang diberikan kepada Zahid.

Anwar menerajui Putrajaya pada November tahun lalu dengan disokong oleh 148 daripada 222 anggota parlimen, dan ini merupakan jumlah asas untuk membentuk majoriti dua per tiga dalam Dewan Rakyat.

Jumlah 148 itu adalah termasuk Syed Saddiq, yang merupakan ahli parlimen Muar dan secara teori, kerajaannya menikmati majoriti dua pertiga dan boleh meminda Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, ketika ini kerajaan mempunyai 147 ahli Parlimen selepas kerusi Pulai kosong berikutan kematian Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Jika Amanah memenangi semula kerusi Pulai pada hari Sabtu, ini akan memberi kerajaan 148 ahli Parlimen sekali lagi.

Bagaimanapun, jika Muda meneruskan ancamannya, kerajaan akan kembali dengan 147 ahli Parlimen.