Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bapa Islam saya tak bantah saya jadi Buddha - remaja

Seorang remaja 17 tahun asal Sabah yang menetap di Sarawak berkata bapanya yang beragama Islam tidak membantahnya menganut ajaran Buddha.

Bakal menyambut hari ulang tahun ke-18 tahun depan, dia membuat pengisytiharan itu bagi menyokong ibunya yang beragama Buddha mencabar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang didakwa menangguhkan penukaran status agama di kad pengenalannya.

“Saya dilahirkan pada 18 Oktober 2005. 

“Saya faham bahawa ibu bapa saya bercerai,” katanya, sambil menjelaskan dia juga menamatkan persekolahan di sebuah sekolah Cina di Kota Kinabalu, Sabah.

“Saya penganut agama Buddha. Semasa bersekolah, saya tidak ambil kelas agama Islam. 

“Dalam hidup saya saya tidak pernah amalkan Islam,” katanya sambil berkata kawan-kawannya juga mengenalinya dengan nama Cina.

“Saya tidak pernah mengaku atau mengamalkan sebarang ajaran agama lain dalam hidup saya. 

“Bapa saya tidak pernah membantah saya menjadi Buddha. Saya mahu dikenali sebagai bukan Islam,” katanya dalam afidavit bertarikh 9 Ogos yang dilihat Malaysiakini.

Bulan lalu, di Mahkamah Tinggi Kuching, ibu remaja itu yang berusia 52 tahun memfailkan saman pemula terhadap Pengarah Bahagian Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat; Pendaftar Kelahiran dan Kematian Sarawak, pengarah bahagian kad pengenalan, ketua pengarah JPN dan  kerajaan persekutuan sebagai defendan keenam.

Hak jagaan tunggal

Ibunya memohon pengisytiharan bahawa dia mempunyai hak untuk menentukan agama dan asuhan untuk anak lelakinya itu, yang menggunakan nama Islam di kad pengenalan.

Plaintif memohon perintah mahkamah untuk memaksa defendan pertama, kedua dan ketiga untuk merekodkan perubahan agama dalam kad pengenalan anaknya.

Berdasarkan afidavit sokongannya, dia dan bekas suami berkahwin bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Sabah 1992 pada 3 Ogos 1999. 

Menegaskan dia mengamalkan ajaran Buddha pada masa itu, dia berkata mereka bercerai pada 27 Januari 2010 menurut Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Katanya, dia mendapat hak penjagaan tunggal dan membesarkan anaknya sebagai seorang Buddha sejak lahir.

Katanya, bekas suaminya sudah berkahwin lain dan mempunyai keluarga baru.

Borang demi borang

Ibu itu berkata, masalanya bermula apabila dia dan peguam pada 5 Julai tahun ini memohon kepada JPN untuk menukar butiran dalam kad pengenalan anaknya ditolak.

Katanya, dia diberikan set borang lain untuk diisi.

Wanita itu kemudian berkata dia membuat permohonan baru pada 18 Julai dengan dokumen sokongan daripada bekas suaminya dan anaknya, yang diterima oleh jabatan itu.

Dia berkata peguamnya kemudian menghantar surat kepada JPN dan mendapat balasan pada 31 Julai bahawa permohonannya ditolak dan dia diminta mengisi lebih banyak borang.

Katanya borang-borang itu lebih kurang sama, terutamanya borang kedua dan ketiga, kecuali untuk peruntukan melibatkan pelbagai ordinan.

Katanya sebagai rakyat Malaysia, dia berhak membetulkan butiran pada kad pengenalan anaknya.

“Bapanya tidak membantah didikan agama untuk anak ini. 

“Dia juga menyokong permohonan kami untuk meminda butiran dalam pendaftaran dan kad pengenalan anak ini.

“Anak ini tidak pernah menghadiri kelas agama di sekolah. Dia tidak mengamalkan atau mengaku beragama Islam ketika setiap masa material,” katanya.

Wanita itu berkata anaknya dikenali dengan nama Cina dalam kalangan kawan-kawannya, anggota keluarga, guru-guru dan orang ramai. 

Afidavit itu difailkan oleh tetuan Baru Bian Advocates dan Mahkamah Tinggi Kuching dijadual mendengar cabaran undang-undang itu pada Isnin minggu depan.

Malaysiakini telah menghubungi peguam kepada defendan-defendan dan sedang menunggu maklum balas mereka.

[Baca berita asal]