Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Mahkamah benar pasport Wan Saiful dipulangkan sementara

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan Wan Saiful Wan Jan untuk pelepasan sementara pasportnya bagi lawatan rasmi 10 hari Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu ke Jepun.

Kebenaran yang diberikan Hakim Rozina Ayob susulan keputusan Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide berhubung pelepasan sementara pasport yang disimpan oleh mahkamah sebagai sebahagian daripada syarat ikat jamin berhubung kes rasuah yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Ketika ditemui selepas sebutan kes, peguam tertuduh Amer Hamzah Arshad mengesahkan permohonan itu adalah untuk lawatan kerja ke Jepun dari 23 Sept hingga 2 Okt ini melibatkan Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai Infrastruktur.

Peguam itu berkata, pihaknya telah menerima surat daripada Pejabat Sekretariat Dewan Rakyat untuk membincangkan jadual perjalanan kerja pada 14 Sept.

Amer menambah, kebenaran mahkamah untuk pelepasan sementara pasport adalah dengan syarat pasukan pembelaan akan memberikan dokumen lanjut berhubung tiket penerbangan serta salinan surat daripada Pejabat Sekretariat Dewan Rakyat.

Difahamkan, pasport perlu dikeluarkan sebelum perjalanan bagi memastikan kelancaran pembelian tiket penerbangan bagi perjalanan Wan Saiful dari 23 Sept hingga 2 Okt ini.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan lapan hari tahun depan untuk perbicaraan penuh kes terhadap bekas ketua penerangan Bersatu itu, iaitu 25 hingga 27 Mac, 29 hingga 30 April, dan 20 hingga 22 Mei 2024.

Pada 21 Feb, Wan Saiful minta dibicarakan atas dua pertuduhan - pertama, kerana meminta rasuah dalam jumlah yang tidak ditentukan dan kedua, kerana menerima rasuah RM6.96 juta antara 8 Julai dan 30 Sept 2022.

Ahli parlimen PN itu dituduh meminta rasuah daripada seorang individu bernama Lian Tan Chuan.

Suapan itu didakwa itu untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek “Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur” daripada kerajaan persekutuan melalui prakelayakan.

Projek itu sepatutnya bernilai RM232 juta.

Pertuduhan kedua menuduh Wan Saiful menerima, melalui syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, wang RM6.96 juta daripada Nepturis sebagai dorongan untuk membantunya mendapatkan surat anugerah bagi projek yang sama.

Dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Mahkamah jenayah menetapkan ikat jamin RM400,000 dan memerintahkan pasport Wan Saiful dirampas, sementara menunggu kes selesai.

Jana Wibawa, yang merupakan singkatan “Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa”, merupakan program rangsangan Covid-19 untuk kontraktor bumiputera.

Pentadbiran Muhyiddin Yassin memperkenalkannya pada November 2020.

Pada Julai tahun ini, Parlimen diberitahu bahawa pentadbiran Anwar Ibrahim ketika ini telah membekukan projek Jana Wibawa bernilai RM5.7 bilion, sementara menunggu siasatan.