Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Zahid lepas: Cina dah mula tanya reformasi jenis apa ini? - Gerakan

Presiden Gerakan, Dominic Lau berkata parti itu tidak perlu menggandakan kempen dalam kalangan pengundi Cina dan bukan Melayu bagi mengundi calon PN di Pulai, Zulkifli Jaafar pada 9 Sept ini.

Lau berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah merupakan 'naratif baru' dalam PRK kali ini.

"Tidak perlu (Gerakan) membawa naratif baru. Ia sudah pun bermula dalam kalangan masyarakat Cina," kata Lau kepada Malaysiakini.

Menjelaskan naratif baru itu, Lau berkata permohonan pihak pendakwaan agar DNAA diberikan kepada timbalan perdana menteri itu mencetuskan persoalan apakah benar kerajaan Anwar Ibrahim membawa agenda reformasi.

"Ini bukan reformasi yang orang ramai mahu lihat. Jadi naratif baru ialah Anwar akan melakukan segala cara untuk kekal sebagai perdana menteri [...]

"Kita tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang, malah (bekas perdana menteri) Najib (Razak) mungkin dibebaskan dari penjara," kata Lau.

“Mereka (orang ramai) sudah mula bercakap tentang Reformasi jenis apa ini?

“Ia bukan datang daripada (penyokong) PN, tetapi terus daripada masyarakat Cina,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditanya apakah Gerakan akan membantu Bersatu dan PAS bagi menarik sokongan lebih ramai pengundi Cina dan bukan Melayu yang dilihat sebahagian besar menyokong calon PH, Suhaizan Kaiat.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Johor Azleen Ambros berkata pihaknya tidak bimbang dengan usaha PN meraih sokongan pengundi Cina susulan pertikaian terhadap agenda reformasi yang dibawa perdana menteri.

Lau bagaimanapun berkata keputusan melepaskan Zahid akan memberikan "gambaran yang lebih besar" kepada masyarakat Cina dan bagaimana sokongan mereka terhadap PH sebelum ini adalah kerana janji untuk melaksanakan reformasi.

Kerusi parlimen Pulai memiliki dua kerusi DUN iaitu Kempas dan Perling dengan 166,563 pemilih berdaftar, berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi pilihan raya umum ke-15 lalu.

Kempas mempunyai komposisi pengundi Melayu yang lebih ramai iaitu 55 peratus, manakala majoriti pengundi di Perling terdiri daripada bukan Melayu iaitu lebih 60 peratus.

Memasuki minggu kedua kempen, kempen PH setakat ini lebih tertumpu di DUN Perling yang disandang Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, manakala PN melalui Bersatu dan PAS menyasarkan pengundi Melayu di Kempas.