Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PRK: 'Siapa pun sentuh isu 3R harus sedia berdepan tindakan’

PRK JOHOR | Semua penyokong parti politik mahu pun pemimpin yang terus menyentuh isu-isu sensitif khususnya berkaitan 3R iaitu bangsa, agama dan raja, sepanjang tempoh berkempen harus bertanggungjawab dengan setiap kenyataan yang dibuat.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata mereka juga perlu bersedia berdepan dengan tindakan undang-undang yang bakal diambil ke atas pihak terlibat.

“Siapa juga yang melanggar peraturan yang ada, mereka harus bertanggungjawab untuk berhadapan dengan tindakan undang-undang yang ada dalam negara ini.

“Dan jika ada tindakan yang diambil (ke atas mereka dan mereka) tak boleh salahkan sesiapa (jika tindakan diambil),” katanya kepada pemberita selepas program minum petang dan ramah mesra timbalan menteri dalam negeri bersama veteran polis Bakri di Pejabat Umno Muar, hari ini (gambar, bawah).

Shamsul Nasarah berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kepimpinan PN yang terus menerus memainkan isu berkaitan 3R dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Pulai dan Simpang Jeram.

Mengulas lanjut, Shamsul yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata sebagai seorang pemimpin sesebuah parti yang bertanggungjawab dan matang isu melibatkan 3R perlu dielakkan.

“Demi keharmonian dan kemakmuran negara ini, laksana dan amalkanlah politik dalam demokrasi yang matang. Untuk kita memperlihatkan kepada rakyat bahawa kita bijaksana.

“Sebab kita nak jaga kestabilan negara. Ini penting, kerana jika tidak rakyat akan melihat kita membenarkan perkara-perkara yang melanggar undang-undang dilakukan,” katanya.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat.

Jelas Shamsul, dia turut menasihatkan pemimpin parti-parti supaya berpolitik secara matang.

“Berhadapan dengan rakyat dengan hujah-hujah dengan mengemukakan dasar polisi yang baik biar rakyat nilai kita. Rakyat bijak untuk menilainya,” katanya.

Pada 29 Ogos lalu, Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat mengingatkan semua pemimpin dan penyokong parti politik agar tidak menyentuh isu sensitif berkaitan 3R sepenjang tempoh kempen PRK di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Bagaimanapun, peringatan itu seolah-olah tidak diendahkan apabila bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad secara terbuka berkata dia akan terus ‘bersuara’ terutamanya melibatkan isu-isu 3R walaupun sudah sembilan kali disoal siasat polis berkenaan isu itu.

Memetik ucapan Mahathir ketika Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) di Simpang Jeram semalam, perdana menteri ketujuh itu berkata larangan untuk bercakap isu 3R sebenarnya tidak mengikut lunas undang-undang negara kerana tidak dibawa ke kabinet, dipersetujui oleh Dewan Rakyat dan ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong.

Mahathir juga menegaskan larangan berkenaan tidak dianggap sebagai undang-undang.

Di pentas sama Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin turut mempersoalkan sejak bila pemimpin tidak boleh bercakap berkaitan 3R.

“Sejak bila tak boleh bercakap (berkaitan 3R). Kita bangsa Melayu nak membicarakan soal bangsa kita tak boleh?

"Bukan kita nak menyemarakkan perasaan perkauman, (kenapa) tak boleh? Agama kita agama Islam,” katanya.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang juga kini disiasat bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung ucapannya di Johor pada 26 Ogos.

Hadi ketika berucap pada majlis Ceramah Perdana PN Johor di Markas PAS Kawasan Bakri, di Muar pada 27 Ogos lalu berkata pengampunan kepada pesalah yang diamalkan di negara ini tidak sesuai dengan ajaran Islam.

Katanya, anggota keluarga mangsa jenayah yang berhak memberikan pengampunan, bukan lembaga pengampunan.

Bagaimanapun, Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Agong untuk “memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan Raja atau Yang Dipertua Negeri sesuatu negeri berkuasa memberikan ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam negerinya.”