Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PH, BN ajak pengundi tolak budaya pecah belah PN

Pemimpin PH dan BN yang naik ke pentas semasa "ceramah mega" malam tadi mengulangi penegasan mereka kepada pengundi agar menolak amalan politik yang pecah belah dan budaya melabel lawan politik sebagai "kafir".

Ribuan penyokong yang berhimpun di Taman Rekreasi Uda Utama, Pulai, diingatkan tentang bahaya yang boleh datang jika mereka membenarkan retorik itu mendapat tempat di Johor.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, misalnya mempersoalkan 'fatwa' Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, kerana meletakkan hukum "haram" untuk pengundi Pulai memilih calon PH, Suhaizan Kaiat.

"Siapa kamu (Muhyiddin)? Kamu (pengundi) mesti hentikan perkara karut ini!" kata Anwar yang juga pengerusi PH.

Dalam kempen bagi menghadapi PRK di Pulai dan Simpang Jeram, Muhyiddin bersama pemimpin PN yang lain menjadikan DAP sebagai sasaran kecaman bagi menarik sokongan khususnya dalam kalangan pengundi Melayu.

Dakwa mereka, mana-mana pihak yang menerima parti komponen PH itu harus ditolak kerana kononnya mengorbankan kepentingan Melayu-Islam di negara ini.

Muhyiddin semasa berceramah di Kempas pada malam Jumaat lalu menggesa pengundi di kawasan parlimen Pulai supaya tidak memberikan satu undi pun kepada Suhaizan.

"Saya akan buat fatwa, (ia) haram," katanya.

Anwar bagaimanapun menegaskan dakwaan tersebut adalah tidak benar.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi (tengah) antara pemimpin parti kerajaan yang hadir malam tadi

Menurut Anwar, jika benar DAP bertindak seperti didakwa pembangkang, dia sendiri akan ke depan untuk menentang sebarang usaha untuk bekerjasama dengan mereka.

“Jika benar mereka (DAP) menolak Islam dan perlembagaan persekutuan, kita (PH) akan menentang mereka.

“Apa yang paling penting, kami bekerjasama dengan DAP untuk memerangi rasuah,” kata Anwar.

Lepaskan peluang terbaik

Sementara itu pemimpin PH dan BN yang naik ke pentas malam tadi juga menyangkal pandangan Muhyiddin. Kata mereka, bekas menteri besar Johor itu sendiri pernah melabel PAS - yang kini menyokongnya dan menjadi salah satu parti komponen PN - sebagai 'Parti Ajaran Sesat'.

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar juga menyifatkan kenyataan dibuat Muhyiddin minggu lalu adalah petanda bahaya kepada politik Johor.

Katanya langkah Muhyiddin itu seakan-akan budaya yang dibawa PAS apabila mereka berdepan dengan lawan politik.

Mahfuz Omar

“Sebaik kami keluar PAS untuk membentuk Amanah, sudah ada (ahli PAS) yang mengatakan darah kami ‘halal’...,” kata Mahfuz merujuk kepada ancaman serangan terhadap mereka yang disifatkan sebagai musuh Islam, “Bangsa Johor tidak boleh menerima sentimen melampau seperti ini.”

Presiden Amanah Mohamad Sabu pula berkata sebarang "fatwa" PAS perlu ditolak kerana parti itu mempunyai sejarah panjang memecahbelahkan umat Islam dengan melabelkan seteru politik mereka sebagai penentang Islam.

Dia yang pernah menjadi timbalan presiden PAS berkata, mereka diajar oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa akidah ahli Umno boleh dipersoalkan.

PAS pula, kata Mohamad, didakwa Abdul Hadi sedang melaksanakan perjuangan suci untuk menegakkan Islam.

"Tetapi apabila mereka (PAS) menjadi rakan kongsi Umno [...] Umno menjadi kurniaan Allah," kata Mohamad.

Lokman Noor Adam

Seorang lagi penceramah yang mengambil giliran pada malam tadi ialah bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam, yang menganggap Muhyiddin sendiri mensia-siakan peluang untuk mengukuhkan kuasa Melayu-Islam selepas PRU ke-15 berakhir pada tahun lalu.

Katanya Muhyiddin menolak saranan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan perpaduan apabila tiada mana-mana parti boleh berkuasa secara sendirian.

"Jika pada masa itu beliau memutuskan untuk menyertai kerajaan, maka kuasa Melayu-Islam akan lebih kuat daripada apa yang ada pada hari ini," kata Lokman.

[Baca berita penuh]