Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Mat Sabu: Pembangkang risau perpaduan kukuh PH-BN

Perpaduan kukuh yang terjalin antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menyebabkan pembangkang dilihat mula risau dan memainkan sentimen yang cuba memecah-belahkan kerjasama itu dengan mengelirukan rakyat.

Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perpaduan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan kian terserlah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram ini.

“Sekarang ini mereka takut... perpaduan kita membimbangkan mereka…

“Sebab kalau perpaduan PH-BN berterusan hingga menang di Pulai dan Simpang Jeram nanti dan akan datang (PRK) DUN Pelangai, Pahang… gelombang hijau (PN) akan berakhir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan MADANI Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai di Taman Uda Utama, Perling di Johor Bahru malam tadi yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Pengerusi PH.

PRK Parlimen Pulai dan Simpang Jeram masing-masing menyaksikan saingan tiga penjuru, melibatkan pertembungan antara calon PH dengan Perikatan Nasional dan calon Bebas.

PRK itu diadakan susulan kekosongan luar jangka di dua kerusi berkenaan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 Sept diikuti hari pengundian pada 9 Sept.

- Bernama