Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Muhyiddin: Penting PN menang untuk halang persempadan semula p'raya

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin berkata kemenangan calon PN di parlimen Pulai adalah penting untuk menafikan majoriti dua pertiga kerusi parlimen yang dimiliki kerajaan di Dewan Rakyat.

Bercakap kepada pemberita selepas sesi dialog dengan NGO-NGO Melayu Islam di sebuah restoran di Kempas hari ini, Muhyiddin berkata kemenangan PN akan memberi kesan besar kepada orang Melayu-Islam.

"Itu saya sebutkan, satu kerusi penting, pihak kita menang, kita denied (nafikan) dia dua pertiga (majoriti). Dua pertiga ini memberi kesan besar soal pindaan perlembagaan.

"Satu yang kita agak gusar ialah soal persempadanan semula kawasan-kawasan pilihan raya yang akan berlaku dalam tempoh penggal ni.

"Dia akan menggunakan dua pertiga (untuk menukar sempadan kawasan pilihan raya,” katanya.

Muhyiddin mendakwa usaha sedemikian jika dibiarkan akan memberi kesan kepada kepentingan orang Melayu-Islam.

"Kalau mereka merancang buat sesuatu tetapi tidak beri keuntungan kepada pengundi-pengundi khususnya kepada orang Melayu, maka itu satu yang boleh bawa kesan yang tidak baik kepada masa depan orang Melayu," ujarnya.

Muhyiddin berkata dia percaya perhimpunan bersama NGO Melayu-Islam, termasuk Perkasa dan Ummah, akan meningkatkan sokongan terhadap calon PN, Zulkifli Jaafar dan peratusan keluar mengundi pada 9 Sept.

Isu dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat merupakan tema kempen bagi PN dan PH pada PRK parlimen Pulai yang memiliki 166,563 pengundi berdaftar.

Kerusi berkenaan kosong berikutan kematian ahli parlimennya, Allahyarham Salahuddin Ayub, menyaksikan parti gabungan kerajaan kini memiliki 147 kerusi di Dewan Rakyat.