Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

'Ada rumah sendiri lagi bagus, banyak senang hati'

Menginjak usia 75 tahun, hasrat seorang suri rumah, S Ganawaly, di Taman Bukit Pasir, Bakri di Muar, untuk memiliki kediaman sendiri tidak pernah terpadam.

Bagi beliau yang telah menyewa selama puluhan tahun, impian tersebut menjadi antara perkara yang difikirkannya setiap kali sebelum tidur di rumah yang dihuni bersama suami dan tiga anaknya itu.

“Duduk rumah sendiri lagi bagus, banyak senang hati,” kata Ganawaly, pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram itu kepada Bernama.

Katanya, walaupun banyak projek perumahan didirikan di sekitar Simpang Jeram, namun harga rumah yang ditawarkan disifatkan beliau sebagai hanya ‘mampu tengok’ yakni mencecah RM200,000 ke atas.

Ibu kepada tiga anak berusia 20 hingga 25 tahun itu berkata suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori hanya bergaji RM1,600 sebulan, sekali gus belum dapat menunaikan hasratnya untuk membeli rumah sendiri.

Ini kerana dengan pendapatan yang ‘cukup-cukup makan’ itu, ditolak pula RM600 sebulan bagi membayar sewa rumah, sering menyebabkan defisit pada status kewangan mereka dan menjadi punca bank menolak permohonan pinjaman mereka, katanya.

Justeru, Ganawaly amat berharap agar wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram kali ini, dapat menyuarakan permasalahan kaum India di pentas persidangan DUN dan kerajaan negeri, agar solusi terbaik dapat difikirkan, misalnya menerusi pembinaan lebih banyak rumah kos rendah.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Sosial Masyarakat India Bakri, K. Samynathan berkata isu yang dihadapi Ganawaly, merupakan antara permasalahan yang dihadapi beratus-ratus lagi masyarakat India di kawasan itu.

Katanya, pihaknya tidak pernah jemu untuk mengutarakan permasalahan yang dihadapi golongan minoriti itu yang meliputi kira-kira 1,000 daripada 40,379 pengundi berdaftar di kawasan tersebut.

Selain isu perumahan, beliau berkata masyarakat India di Simpang Jeram turut berharap agar pembinaan sebuah kuil di Sungai Abong yang berdekatan kediaman mereka, dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Beliau berkata ketika ini mereka perlu ke bandar Muar yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari kawasan kampung bagi menunaikan ibadat di Kuil Sri Murugan serta Kuil Mariamman.

Hal itu, katanya, agak menyukarkan khususnya bagi warga emas yang tidak mempunyai kenderaan.

Bagi M Nadomaran 68 dari Taman Bakri Jaya, dengan adanya sebuah kuil berdekatan kediaman mereka di Simpang Jeram, ia dapat memudahkan urusan untuk meraikan apa-apa perayaan berkaitan kepercayaan mereka.

“Kalau ada kuil di kawasan kampung lagi bagus sebab kalau di bandar Muar, kuil di tengah-tengah bandar, jadi memang kadang-kadang jalan agak sesak kalau sambut perayaan,” katanya.

- Bernama