Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Saarani: DAP sudah berubah, terima perjuangan Umno

DAP sudah berubah, terbuka dan menerima cita rasa serta haluan Umno yang mendukung perjuangan orang Melayu, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Saarani Mohamad.

Saarani yang juga pengerusi Umno Perak berkata titik perubahan DAP itu bermula sebelum pembentukan kerajaan perpaduan, dengan menyatakan persetujuan mereka tidak mengungkit soal hak-hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saarani yang juga menteri besar Perak berkata perkara itu telah dibincangkan dan dipersetujui DAP, malah kepimpinan parti itu sendiri secara terbuka mengakui hal tersebut termasuk dalam siri ceramah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

“Yang menghantui hubungan Umno-DAP selama ini adalah dahulunya (ketika penubuhan) DAP ini dikatakan parti yang tak mesra dengan perjuangan dan hak orang Melayu.

“Namun, sebelum terbentuknya kerajaan perpaduan, DAP sudah menyatakan persetujuan tidak lagi mengungkit perkara berkaitan hak orang Melayu, agama Islam dan mereka akur dengan Perlembagaan Persekutuan, itu sudah cukup menunjukkan DAP dah berubah,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas program bersama jentera Umno di Pulai, semalam sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai sebagai mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Nur Jazlan Mohamed yang berpandangan DAP mesti mengubah dasar parti itu agar menjadi parti lebih sederhana untuk mendapat sokongan orang Melayu.

Saarani turut yakin dengan keserasian dan perpaduan antara DAP dan semua parti dalam kerajaan perpaduan bagi menghadapi PRU16 nanti.

“Misalnya dalam PRU16 nanti, DAP semestinya tidak bertanding di kawasan Umno dan begitu juga sebaliknya, jadi pengagihan kerusi lebih mudah.

“Tetapi kalau (bekerjasama) dengan PAS dan Bersatu, pasti mereka akan berebut kawasan dengan Umno…kita masuk (bekerjasama sebelum ini) dengan PAS dan Bersatu hanya untuk ‘dibunuh’,” katanya.

Pada PRK Parlimen Pulai, calon PH yang mewakili kerajaan perpaduan Suhaizan Kaiat berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional Zulkifli Jaafar dan Samsudin Mohamad Fauzi yang akan bertanding sebagai calon Bebas.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka di dua kerusi berkenaan berikutan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 Sept diikuti hari pengundian 9 Sept.

-Bernama