Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Disenarai hitam: Amira seret ROS ke mahkamah

Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz menyeret Pendaftar Pertubuhan (ROS) ke mahkamah berhubung dakwaan dirinya disenarai hitam oleh pihak berkuasa itu.

Menerusi cabaran undang-undangnya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hampir dua bulan lalu, Adun Puteri Wangsa itu berhujah bahawa senarai hitam itu bukan sahaja menghalangnya daripada memegang sebarang jawatan dalam Muda tetapi juga menghalangnya daripada memegang jawatan dalam organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berusaha memperkasakan wanita dan kesaksamaan jantina.

Menurut salinan afidavit sokongan terhadap semakan kehakimannya bertarikh 13 Julai, Amira mendakwa dia mendapat tahu dirinya telah disenaraihitamkan melalui hantaran emel daripada ROS bertarikh 18 April.

Aktivis politik itu mendakwa pihak berkuasa telah memaklumkan penolakan terhadap permohonannya dan beberapa aktivis lain untuk mendaftarkan NGO bernama Persatuan Impak Wanita Malaysia (PIWM), kerana Amira telah disenaraihitamkan.

Pemohon mendakwa bahawa responden ROS memaklumkan bahawa penolakan itu adalah kerana dia menjadi pengerusi kumpulan pemerkasaan wanita yang dicadangkan itu, sekali gus melanggar senarai hitam daripada memegang jawatan dalam pertubuhan.

"Setakat pengetahuan saya, emel daripada ROS Selangor bertarikh 18 April 2023 adalah kali pertama saya mempunyai pengetahuan dan/atau dimaklumkan berkenaan keputusan ROS menyenarai hitam pemohon.

"Saya amat terkejut bahawa responden telah berbuat demikian,” dakwa Amira pada afidavit sokongannya yang dilihat Malaysiakini.

Aktivis politik itu juga berkata semakan lanjut menggunakan nombor Mykadnya di portal web rasmi ROS mendedahkan senarai hitam terhadapnya daripada memegang sebarang jawatan dalam mana-mana persatuan.

Amira berhujah bahawa laman web itu menyatakan senarai hitam itu berkuat kuasa pada 28 Okt tahun lepas di bawah Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

Seksyen itu merujuk kuasa ROS untuk membatalkan pendaftaran persatuan jika ia berpuas hati bahawa pertubuhan itu dengan sengaja melanggar Akta atau peraturan berkaita.

Bagaimanapun, Amira mendakwa bahawa senarai hitam itu - yang dipertegaskan dalam apa jua keadaan adalah tidak wajar di sisi undang-undang - mungkin berkaitan dengan insiden ketika dia pernah memegang jawatan setiausaha dalam NGO Persatuan Ekonomi Merdeka antara 3 Ogos 2017 dan 19 Okt tahun lepas.

Amira mendakwa pada 19 Okt tahun lepas melalui sepucuk surat, Jabatan Insolvensi Negeri Selangor telah memaklumkan bahawa ROS pada 28 Sept tahun itu telah membatalkan pendaftaran Persatuan Ekonomi Merdeka, dan telah mengarahkan dia serta ahli jawatankuasa lain untuk mengemukakan dokumen persatuan itu.

Menurut Amira, walaupun dia tidak bersetuju dengan pembatalan pendaftaran Persatuan Ekonomi Merdeka, namun dia dan ahli lain telah bekerjasama dengan pihak berkuasa insolvensi negeri dan tidak membuat sebarang rayuan berhubung perkara itu atas sebab kewangan, logistik dan lain-lain.

"Walau apapun yang berlaku dengan Persatuan Ekonomi Merdeka, saya dinasihati peguamcara saya dan sesungguhnya percaya bahawa ini tidak memperuntukkan kuasa kepada responden di bawah undang-undang untuk menyenaraikan saya daripada memegang jawatan dalam persatuan-persatuan lain,”katanya.

Hujah Amira, senarai hitam itu melanggar hak asasinya untuk menubuhkan persatuan berdasarkan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh kerana keputusan ROS menyenarai hitam pemohon, saya telah dihalang untuk tempoh masa yang tidak dinyatakan daripada memegang sebarang jawatan dalam mana-mana pertubuhan.

"Ini amat memprejudiskan saya kerana saya adalah antara lain seorang ahli pertubuhan politik iaitu Muda.

"Saya dilantik sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Johor atas tiket Muda.

"Keputusan ini akan menghalang saya daripada bertanding untuk mana-mana jawatan dalam Muda.

"Saya juga akan diprejudiskan kerana tidak boleh menubuhkan apa-apa pertubuhan lain sebagai wahana untuk mem[perjuangkan isu yang dekat dengan hati saya, seperti isu hak wanita, pendidikan, alam sekitar dan sebagainya yang memang telah saya perjuangkan secara umum.

Tak munasabah

"Lumrah tahu bahawa sesuatu isu itu boleh diangkat dengan lebih efektif jiklau mendapat kerjasama dan kebergantungan beberapa orang dalam sebuah pertubuhan, berbanding seorang diri,” katanya lagi.

Amira menegaskan bukan saja Akta Pertubuhan tidak mengandungi sebarang peruntukan yang memberi kuasa kepada ROS untuk menyenaraihitamkan mana-mana individu untuk selama-lamanya daripada memegang sebarang jawatan dalam mana-mana persatuan, malah keputusan senarai hitam itu juga tidak munasabah dan berdasarkan pertimbangan yang tidak relevan.

"Saya telah dinafikan hak untuk didengar sebelum keputusan yang drastik tresebut telah dibuat.

"Ini telah melanggar keadilan asasi dan hak saya untuk didengar,” katanya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam Lim Wei Jiet (gambar, atas) yang mewakili Amira mengesahkan mahkamah sivil pada 17 Ogos memberikan kebenaran untuk dia memulakan semakan kehakiman.

Peguam itu berkata mahkamah memberikan 'lampu hijau' berikutan tiada bantahan yang dibangkitkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC), yang mewakili ROS dan perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya pada 14 Sept.

"Ini adalah isu yang sangat penting kerana ROS telah menyediakan satu pangkalan data senarai hitam, yang kami katakan ROS tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian di bawah Akta (Pertubuhan)," kata peguam itu.

Jelas Lim, tindakan undang-undang itu penting kerana ia membolehkan mahkamah meneliti isu sama ada ROS telah melangkaui bidang kuasa yang diberikan oleh akta tersebut.

Menurut surat daripada AGC kepada mahkamah bertarikh 16 Ogos, pihaknya memaklumkan tiada bantahan terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh Amira, membuka jalan untuk perbicaraan penuh tindakan undang-undang itu kemudian.

[Baca berita asal]