BN akui ada ahli parti tercari-cari calon 'dacing'
PRK | Umno-BN mengakui terdapat ahli partinya dan juga pengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang tercari-cari calon parti itu pada pilihan raya kali ini.
Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin berkata ia selepas Umno tidak meletakkan calon parti itu pada kedua-dua pilihan raya kecil 9 September ini, sebaliknya hanya membantu calon wakil kerajaan perpaduan.
“Maka dengan demikian mereka perlu fikirkan ke mana hala tuju undi mereka.
“Mereka yang inilah yang kita sedang uruskan sekarang dengan memberi kefahaman kepada mereka agar mereka tidak keliru (dalam membuat pilihan) nanti.
“Kita takut ada yang pergi (mengundi) pada hari mengundi nanti tercari-cari (mana calon BN, tapi) tak ada lambang BN untuk diundi.
"Dalam keadaan sedemikian jentera BN sama ada di Simpang Jeram ataupun di Pulai memang berusaha untuk mendekati serta mengesan semua pengundi-pengundi tegar Umno-BN untuk terangkan kepada mereka mengenai hakikat ini dan maklumkan kepada mereka supaya memberikan undi kepada parti yang menerima Umno dan BN,” katanya kepada pengundi selepas program walkabout di Taman Jeram Mulia, Muar, hari ini.
Siapa dia nak kata orang ni lebih Islam?
Mengulas lanjut, Khaled berkata jentera Umno-BN akan memberi penerangan mengenai perkara ini kepada para pengundi.
"Insya-Allah dan syukur Alhamdulillah setakat ini mana yang kita temui mereka memahami dan beri jaminan untuk sama-sama menjayakan hasrat yang BN sendiri sokong,” katanya.
Sementara itu, Khaled juga diminta mengulas kempen yang dimainkan oleh parti lawan agar pengundi mengutamakan calon daripada 'parti Islam' kerana dikatakan lebih adil dan bersih.
Khaled yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor menyoal pihak terbabit yang mahu menentukan akidah dan keislaman seseorang itu.
“Mana dia tahu (calon PH-BN DUN Simpang Jeram) Nazri tak boleh buat kerja dan tak adil…siapa dia untuk kata orang ini Islam, orang itu lebih Islam.
“Kita ini semua orang Islam tapi kita tak nak memperalatkan agama untuk tujuan mencapai matlamat politik kita. Sebab kita tidak tergamak. Tak seperti PAS,” katanya ringkas.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka di dua kerusi terbabit berikutan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.
Persaingan merebut kedua-dua kerusi itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru, antara PH, PN dan calon bebas.
Bagi kerusi DUN Simpang Jeram, calon PH yang diwakili oleh Nazri Abdul Rahman dari Amanah berdepan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Mazri Yahya (Perikatan Nasional) dan calon bebas yang juga ahli perniagaan S Jeganathan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai