Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

MB: PH-BN cadang wakil Amanah jadi speaker DUN Negeri Sembilan

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan secara dasar bersetuju mencadangkan jawatan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) diberikan kepada Parti Amanah Negara (Amanah).

Bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua DUN pula, kedua-dua parti gabungan itu yang membentuk kerajaan Negeri Sembilan, bersetuju memberi laluan kepada PKR.

Perkara itu disahkan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Seremban, semalam.

Beliau berkata proses undian jawatan itu akan diadakan pada Persidangan DUN Khas, 26 Sept ini, dengan majlis angkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri juga akan diadakan.

“Kita telah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengenai persidangan itu dan majlis mengangkat sumpah.

“Nama calon itu akan dibawa untuk perkenan Tuanku dan lantikan speaker DUN perlu diundi serta disokong di dalam dewan. Ia akan dilakukan dalam persidangan DUN iaitu pada majlis angkat sumpah tersebut,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Tuanku Muhriz turut berkenan merasmikan Persidangan DUN pada 9 Okt ini yang akan berlangsung selama empat hari.

“Mungkin terdapat dua Rang Undang-Undang (RUU) serta bajet tambahan di peringkat pengurusan kewangan negeri 2023 akan dibawa pada persidangan DUN itu,” katanya menambah Persidangan DUN bagi Belanjawan 2024 akan diadakan selama seminggu bermula 1 Dis ini.

- Bernama