Perarakan kuil: Pegawai khas Anwar buat laporan polis balas
R Suresh Kumar, pegawai khas kepada ahli parlimen Tambun yang juga Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah tampil membuat laporan polis balas terhadap sebuah NGO.
Katanya, NGO tersebut sebelum ini mendakwa dia mengganggu tugas polis berhubung permohonan perarakan kuil di jalan utama Klebang, Tambun ketika bulan Ramadan pada April lalu.
Suresh membuat laporan polis itu pada 23 Ogos di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak.
"Saya berasa kecewa dengan tindakan NGO itu membuat aduan polis palsu terhadap saya tanpa mendapatkan pencerahan daripada saya terlebih dahulu.
Nafi ugut polis
"Dalam laporan, mereka mendakwa saya sebagai mengugut pegawai polis selain tidak menghormati sensitiviti Melayu dan Islam dengan meminta perarakan di kawasan majoriti Melayu di bulan Ramadan.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya laporan itu dan meminta pihak polis menyiasat NGO itu yang membuat laporan palsu terhadap saya," katanya kepada Malaysiakini.
Menurut Suresh, kenyataan NGO itu satu usaha mencemarkan nama baik perdana menteri dan kerajaan Malaysia Madani hari ini.
Sebelum ini, pada 18 Ogos, Pertubuhan Kebajikan Amal Yaqin Bersaudara Ipoh Perak membuat laporan polis itu juga di IPD Ipoh.
Pengerusinya, Mohd Amir Ikram Kamaruddin ketika itu berkata laporan tersebut dibuat berdasarkan sebuah video yang tular di media sosial mengenai tindakan individu yang didakwa menganggu tugas polis berhubung permohonan perarakan kuil di jalan utama Klebang, Tambun ketika bulan Ramadan pada April lalu.
Mohd Amir mengatakan polis Ipoh telah menolak permohonan perarakan kuil itu untuk menggunakan jalan utama Klebang dan pihak berkuasa mencadangkan penggunaan jalan alternatif atas alasan menjaga sensitiviti Melayu dan mengelakkan kesesakan jalan utama.
Menurut laporan polis oleh NGO berkenaan, lelaki tersebut menghubungi timbalan ketua polis Perak 'untuk 'menekan dan memaksanya’ agar memberi kebenaran menggunakan jalan utama bagi tujuan perarakan berkenaan.
Mereka mendakwa, polis akhirnya memberikan kebenaran kerana Suresh memperkenalkan dirinya sebagai 'orang kanan perdana menteri'.
Laporan NGO itu juga mendakwa pada hari perarakan berlaku pergaduhan dan kesesakan lalu lintas, selain orang Melayu kawasan itu kecewa kerana pejabat ahli parlimen Tambung tidak menghormati sensitiviti Melayu dan Islam.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai