Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pemuda Umno isytihar gelombang biru, merah tolak gelombang ekstremis

Pemuda Umno mengisytiharkan bermulanya ‘gelombang’ biru dan merah dalam kempen bagi membantu calon PH, Suhaizan Kaiat pada pilihan raya kecil (PRK) Pulai, untuk mencetuskan perpaduan yang diilhamkan melalui warna bendera negeri Johor.

Pada sesi bertemu pengundi di medan selera setempat di Perling, malam tadi, Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh mengajak rakyat menolak politik ekstremis yang dibawa oleh pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Dalam ucapannya, Akmal merujuk warna biru tua dan merah bendera Johor, juga merupakan warna BN dan PH

“Warna bendera Johor ialah biru tua dan merah.

“Jadi biarlah itu petanda bermulanya ‘gelombang’ biru dan merah untuk menolak gelombang politik ekstremis,” kata Akmal.

Hadir sama adalah Timbalan Ketua Pemuda Umno Mohd Hairi Md Shah, Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azlene Ambros, serta ketua dan ahli pemuda bahagian tempatan. 

Mereka turut disertai oleh Ketua Pemuda Umno Langkawi Mohd Nazifuddin Najib, serta veteran Umno Johor Abdul Aziz Kaprawi.

Sementara itu Suhaizan, dalam mengalu-alukan sokongan Pemuda Umno, berkata kehadiran mereka pada hari ketiga berkempen membuktikan perpaduan antara BN dan PH, bertentangan dengan khabar angin awal.

“(Perpaduan) bukan sahaja di peringkat pemimpin negara seperti (Perdana Menteri) Anwar Ibrahim dan (Timbalan Perdana Menteri) Ahmad Zahid Hamidi, tetapi juga di kalangan pemuda.

“Saya ingin nyatakan jika ada di kalangan pembangkang yang mengatakan ada ‘gelombang hijau’, saya katakan kita ada ‘gelombang biru dan merah’ di Johor,” katanya.

Menurut Akmal, kehadiran mereka berkempen bersama membuktikan bahawa solidariti dengan kerajaan perpaduan, di sebalik Umno/BN tidak bertanding di Pulai buat pertama kalinya. 

“Kehadiran kami hari ini bersama dengan semua barisan kepimpinan Pemuda menunjukkan bahawa kita menyokong penuh calon Pakatan Harapan dan kerajaan perpaduan,” katanya. 

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Akmal menegaskan pihaknya beriltizam untuk memastikan undi penyokong BN akan memberi kemenangan kepada  PH menang dalam PRK Pulai dan Simpang Jeram itu.

“Kita dah arahkan semua Pemuda Umno di peringkat bahagian Johor dan Malaysia untuk berkampung di sini (Pulai) dan juga Simpang Jeram, untuk kita pastikan bahawa pada 9 Sept nanti, undi daripada BN dapat dizahirkan dalam peti undi dan beri kemenangan kepada calon PH yang mewakili kerajaan perpaduan.

“Kita tak nak politik kebencian, politik ekstremis, politik yang memecah-belahkan. 

“Biarlah kali ini kita mulakan dengan politik yang penuh dengan perpaduan, yang menyatupadukan tak kira bangsa, agama, sebab inilah wajah Malaysia sebenar. Ini yang perlu dizahirkan,” katanya yang juga anggota dewan undangan negeri (Adun) Merlimau.