Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kapal terbang pergi haji pun ciptaan manusia - Hadi

Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini menggunakan analogi perjalanan ke Makkah menaiki kapal terbang "ciptaan manusia" yang menurutnya mesti digunakan untuk menegakkan agama.

Abdul Hadi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor, yang berhujah bahawa konsep parti Islam adalah "ciptaan manusia" dan oleh itu umat Islam tidak dipaksa untuk memberikan sokongan.

"Ada ciptaan manusia yang mesti digunakan untuk agama. Macam kapal terbang yang manusia cipta boleh digunakan untuk pergi haji.

"Nak pergi Makkah pun kena naik kapal terbang itu yang manusia buat bukan jalan kaki. Parti ini ciptaan manusia tapi untuk menegakkan agama dan bangsa," kata Abdul Hadi ketika sidang media di pusat gerakan PAS Pulai di Johor hari ini.

Minggu lalu, Wan Salim berkata seorang Muslim tidak akan berdosa jika mereka memilih untuk menyokong mana-mana parti politik selain parti yang disifatkan sebagai "parti Islam".

Berita Harian memetik Wan Salim sebagai berkata bahawa sikap "taksub" kerap mendorong seseorang dalam menyamakan antara rekaan manusia dengan ciptaan Allah.

Pada masa itu, Wan Salim berkata demikian berikutan Menteri Besar Kelantan Nassuruddin Daud menyifatkan dua Adun Pakatan Harapan (PH) dan BN di Kelantan sebagai orang "yang menentang perjuangan Islam".

Abdul Hadi membuat analogi itu selepas menghadiri 'Dialog Rakyat' bersama pengundi Pulai, yang dianjurkan oleh PAS bahagian tempatan sebagai sebahagian daripada kempen calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar.

Turut hadir ialah Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin.