Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bekas calon PN masih terkenang kebaikan Allahyarham Johari

"Allahyarham Johari adalah sahabat yang hebat, banyak amal jariah sahabat ini di tempat saya.

"Masih terasa gurau sendanya serta kelembutan bicaranya," itu antara luahan bekas calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada PRU ke-15 lalu, Kasim Samat.

Disebabkan itu, Kassim menyifatkan pilihan raya kecil (PRK) bagi DUN Pelangai Okt nanti sebagai pertembungan di antara emosi dan tuntutan demokrasi.

Kata Kassim dia memang sangat mengenali Allahyarham Johari Harun dan mengakui ahli politik Umno berkenaan memiliki keperibadian yang sangat baik.

Justeru, katanya, kehilangan Johari memang dirasai penduduk di Pelangai. Antara lain, katanya, kerana Johari tidak pernah gagal balik ke kawasan berkenaan setiap minggu, atau jika berlaku kecemasan di situ.

“Allahyarham juga menyantuni penduduk di sini tanpa mengira perbezaan politik, tidak kira awak PAS atau Umno, semuanya dia buat kawan.

“Kalau tanya semua penduduk di sini, mereka juga akan cakap hal yang sama mengenai allahyarham,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini di Kuantan, hari ini.

Kassim (kanan) bersama Allahyarham Johari semasa PRU ke-15 tahun lalu

Kerusi DUN Pelangai diisytiharkan kosong susulan kematian Johari yang terlibat dalam nahas pesawat udara di Lebuhraya Guthrie dekat Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

SPR yang bermesyuarat hari ini mengumumkan 23 Sept sebagai tarikh penamaan calon, 3 Okt untuk undi awal dan 7 Okt hari pengundian biasa bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan.

Pada PRU ke-15 yang diadakan tahun lalu, Kasim - atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Kasim dalam kalangan penduduk setempat - tewas kepada Johari dengan majoriti 4,048 undi.

Dia adalah Naib Yang Dipertua PAS Bentong dan menetap di Felda Chemomoi, satu daripada tiga kawasan tanah rancangan yang terdapat dalam kawasan DUN Pelangai.

Dua lagi kawasan Felda adalah Felda Kemahal dan Felda Kemasul.

Yakin boleh menang

Ditanya mengenai kemungkinan dia akan dicalonkan sekali lagi bagi kerusi itu, Kasim memberitahu keputusan tersebut terletak pada pucuk pimpinan tertinggi PAS.

“Saya difahamkan mereka (PAS Pahang) sudah menghantar senarai nama yang dicadangkan untuk menjadi calon, biasanya ada tiga nama akan disenaraikan.

“Keputusan jadi calon atau tidak, biarlah mereka putuskan, cuma kalau ada rezeki, insya-Allah saya sedia pikul tanggungjawab itu,” katanya lagi yang memaklumkan namanya juga antara yang disenaraikan sebagai calon.

Mengulas dakwaan berlaku ‘Gelombang Hijau’ selepas pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, Kasim memaklumkan perkara itu memang terjadi dan turut akan memberi kesan pada keputusan di Pelangai nanti.

Katanya, penolakan terhadap gabungan BN-PH dalam kalangan orang Melayu bukan lagi rahsia dan ia akan berlanjutan di Pulai dan Simpang Jeram, Johor, yang dijadualkan bulan depan.

“Saya nampak senario ini akan berterusan selagi tidak ada perubahan dalam barisan pimpinan Umno.

“Sebab itulah, untuk PRK kali ini, saya percaya PN boleh menarik lebih 60 peratus undi yang diberikan kepada Allahyarham Johari pada 2022.

“Kami juga sudah mendengar kenyataan dibuat Pesuruhjaya PAS Pahang (Rosli Abdul Jabar) dan Ketua Penerangan PAS Pahang, Mohd Tarmizi Yahaya.

“PN Pahang tidak akan memberikan kemenangan percuma kepada BN-PH dan kami akan cuba ambil kerusi DUN Pelangai untuk menjadikan kerusi DUN ke-18 di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sudah menghantar tiga nama kepada Majlis Syura PAS Pusat.

Dia bagaimanapun enggan mendedahkan nama berkenaan dan meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi oleh pucuk pimpinan parti itu.

“Mereka adalah pemimpin PAS kawasan Pelangai dan Bentong, aktif menjalankan pelbagai aktiviti di situ.

“Nama dicadangkan juga sangat dikenali penduduk setempat, anak tempatan dan boleh memberikan kemenangan kepada PN Pahang,” katanya.