Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

'Saya bantu depositkan wang tunai RM200,000 ke akaun Rosmah'

Seorang bekas pegawai pengurusan operasi di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya memberi keterangan bahawa dia telah membantu memasukkan RM200,000 ke dalam akaun bank Rosmah Mansor, isteri perdana menteri ketika itu Najib Razak.

Semasa hari pertama perbicaraan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai Rosmah pagi ini, Faizal Shamsuddin memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung transaksi itu pada 17 Jun 2015.

Saksi pendakwaan kedua, yang berkerja secara kontrak dengan kediaman rasmi Najib dan Rosmah antara 2012 dan 2018, memberi keterangan bahawa dia membantu seseorang bernama Roslan Sohari - yang merupakan pengurus rumah kediaman Kompleks Seri Perdana - untuk mendepositkan RM200,000.

Faizal memberitahu hakim perbicaraan K Muniandy bahawa Roslan menyerahkan wang tunai yang terkandung dalam sampul surat itu kepadanya untuk dibawa ke cawangan Affin Bank di Bangunan Getah Asli, Kuala Lumpur, untuk dimasukkan ke dalam akaun tertuduh.

“Pada hari yang sama, saya telah menyerahkan sampul berisi wang itu kepada seorang pegawai wanita di Affin Bank cawangan Bangunan Getah Asli, Kuala Lumpur, untuk dimasukkan ke dalam akaun bank Rosmah Mansor,” katanya sambil menambah empat nombor terakhir akaun itu ialah 0058.

Semasa prosiding mahkamah terbuka, Faizal mengenal pasti satu eksibit yang menunjukkan borang deposit bank berjumlah RM200,000 bertarikh 17 Jun 2015, ke dalam akaun Rosmah.

“Berdasarkan tulisan tangan saya pada borang deposit ini, saya mengesahkan deposit wang tunai yang dibuat oleh saya atas arahan Roslan Sohari.

"Saya telah memasukkan wang tunai ke dalam akaun 0058 pada hari yang sama wang tunai itu diserahkan kepada saya," kata Faizal.

"Saya tidak tahu punca wang tunai dan tujuan wang tunai dimasukkan oleh saya ke dalam akaun Rosmah. Roslan Sohari juga tidak pernah memberitahu sumber wang tunai itu dan tujuan wang tunai itu," tambah saksi itu.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 7 Sept, bagi membolehkan pasukan peguam Rosmah mengemaskini status hasrat mereka untuk membatalkan pertuduhan jenayah terhadapnya.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kesalahan itu dikatakan dilakukan di Affin Bank Berhad, cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat bawah, 148 Jalan Ampang, Kuala Lumpur, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017, dan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, KL, antara 1 Mei 2014, dan 1 Mei 2018.

Pertuduhan pengubahan wang haram dirangka mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan - dan mereka yang disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta itu dengan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil aktiviti menyalahi undang-undang atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengelak cukai di bawah Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 mendakwa Rosmah gagal mengemukakan penyata pendapatannya bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada ketua pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016 , 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah, bertentangan dengan Seksyen 112 Akta.

Rosmah juga sebelum ini disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dalam kes rasuah yang dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuannya kepada Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan bersalah serta hukuman penjara dan denda.