Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Saman Renong: AGC wakili Mahathir

Dr Mahathir Mohamad kini diwakili oleh peguam kerajaan dalam tuntutan mahkamah yang mendakwa perdana menteri ketika itu memaksa usahawan Halim Saad menyerahkan pegangan kawalannya dalam firma bermasalah Renong Berhad pada 2001.

Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam memfailkan kehadiran di Mahkamah Tinggi Shah Alam mewakili Dr Mahathir serta dua lagi defendan dalam saman berkenaan iaitu bekas menteri kewangan II Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan persekutuan.

Ketika dihubungi petang ini, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali - yang berhasrat untuk mengadakan arahan memerhati bagi Mahathir dalam tindakan sivil itu - mengesahkan AGC kini mewakili bekas perdana menteri itu dan dua lagi defendan.

Muhammad Rafique Rashid Ali

“AGC mewakili Mahathir kerana insiden yang didakwa berlaku pada 2001, semasa dia menjadi perdana menteri,” kata Rafique sambil menjelaskan bahawa dakwaan saman itu berkaitan dengan jawatan perdana menteri ketika itu.

Peguam persendirian itu menambah bahawa AGC juga mewakili Nor Mohamed Yakcop kerana dakwaan itu dikaitkan dengan kapasiti rasminya ketika itu dalam kerajaan.

"Saya akan adakan arahan memerhati untuk Mahathir bagi memastikan kepentingan peribadi dan sulitnya dilindungi," kata Rafique sambil menambah bahawa saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya pada 13 Sept.

Mahathir, 98, menjadi perdana menteri sebanyak dua kali, pertama dari Julai 1981 hingga Oktober 2003, dan kali kedua dari Mei 2018 hingga Februari 2020.

Halim Saad

Pada 2 Ogos lalu, Halim memfailkan saman sivil berhubung dakwaan peranan ketiga-tiga defendan dalam melucutkan hak plaintif sebagai pemegang saham yang mengawal syarikat Renong.

Menerusi pernyataan tuntutan, Halim mendakwa bahawa ini dilakukan berdasarkan kuasa Khazanah Nasional Berhad yang melaksanakan pengambilalihan UEM Malaysia Berhad atas arahan kerajaan sebagai sebahagian daripada pemerolehan wajib antara Julai dan Oktober 2001.

Halim mendakwa pengambilalihan itu membabitkan 372 juta saham dalam Renong dan Mahathir serta Nor Mohamed adalah penggerak utama pengambilalihan tersebut.

Nor Mohamed Yakcop

Plaintif berhujah bahawa saham Renong itu adalah miliknya dan bukan kepunyaan Umno, serta pada masa itu, syarikat berkenaan memegang 37.92 peratus kepentingan dalam UEM.

Usahawan veteran itu menegaskan bahawa dia berhasrat untuk membuat tawaran awam kepada UEM, sama ada melalui Renong atau bersama dengan Renong, untuk mengambilnya secara peribadi sebagai anak syarikat Renong.

“Plaintif bagaimanapun diarahkan oleh Mahathir, secara langsung dan melalui Nor Mohamed, untuk tidak meneruskan Intended GO seperti yang dikehendaki kerajaan, sebaliknya, untuk memperoleh semua saham dalam UEM melalui entiti yang ditetapkan, Khazanah Nasional Berhad atau pihak yang diamanahkan.

“Selaras dengan ini, plaintif juga diarahkan untuk meninggalkan UEM dan Renong, kedua-duanya sebagai pemegang saham dan pengarah termasuk dalam anak syarikat mereka.

“Ini menyaksikan plaintif menyerahkan kawalannya ke atas Renong dan UEM kepada kerajaan dan akhirnya plaintif melupuskan saham Renong miliknya dengan kerugian. Plaintif mematuhi arahan tersebut kerana Mahathir ketika itu adalah perdana menteri dan menteri kewangan.

“Hasilnya, Khazanah memperoleh semua saham dalam UEM melalui anak syarikatnya, Syarikat Danasaham Sdn Bhd, sekali gus menguasai UEM yang pada masa itu memegang 32.6 peratus dalam Renong. Dengan cara ini, kerajaan memperoleh UEM dan secara tidak langsung serta mendapat kawalan dan pemilikan tidak langsung dalam Kumpulan Renong.

“Pemerolehan hak pemberian dan pelucutan hak plaintif sebagai pemegang saham mengawal Renong, yang merupakan aspek utama pelaksanaan pengambilalihan oleh kerajaan, telah dilaksanakan atau disebabkan tanpa sebarang pampasan dibayar kepada plaintif bertentangan dengan Perkara 13 , Perlembagaan Persekutuan,” kata Halim.

[Baca berita penuh]