Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PRK: Bersatu tanding di Parlimen Pulai, PAS di DUN Simpang Jeram

PN hari ini mengumumkan calonnya bagi dua pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan bulan depan, dengan Bersatu akan bertanding di Parlimen Pulai manakala PAS di Simpang Jeram.

Timbalan Ketua Bersatu Pulai Zulkifli Jaafar akan bertanding di kerusi Parlimen Pulai manakala Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor Dr Mohd Mazri Yahya di Simpang Jeram.

Pengumuman dibuat oleh Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dalam satu acara di Pulai, hari ini.

"Kita beri keutamaan kepada anak tempatan, anak Johor.

"Saya harap keputusan yang saya akan umum ini diterima dengan hati terbuka untuk kemenangan kita," katanya yang juga presiden Bersatu.

Zulkifli merupakan seorang usahawan manakala Dr Mohd Mazri adalah pakar bedah vaskular.

Dalam ucapannya, Muhyiddin mengingatkan Zulkifli, yang memiliki beberapa syarikat, agar mengutamakan tanggungjawabnya sebagai ahli parlimen jika menang nanti.

"Ketika perbincangan dengan saya tadi, saya beritahu Zulkifli kalau nak jadi wakil rakyat dengan berkesan, tugas mengurus syarikat mesti diserahkan kepada ahli keluarga lain.

"(Tugas) wakil rakyat mesti sepenuh masa," katanya lagi.

Terdahulu, PH telah mengumumkan calon bagi kedua-dua kerusi itu, iaitu bekas speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat di Pulai dan bekas jurutera Majlis Perbandaran Muar Ir Nazri Abdul Rahman di Simpang Jeram.

Kedua-duanya adalah dari Amanah.

Salahuddin Ayub

PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya, bekas timbalan pengerusi Amanah Allahyarham Salahuddin Ayub akibat pendarahan otak pada 23 Julai lalu.

Parlimen Pulai boleh dianggap sebagai kubu kuat Amanah. Pada PRU lalu, Allahyarham mempertahankan kemenangannya dengan majoriti 33,174 undi.

Dia juga menang di Simpang Jeram sejak kerusi itu diwujudkan pada 2018. Pada PRN Johor pada 2022, dia mempertahankan kemenangannya dengan majoriti 2,399 undi.

Di Pulai, pengundi Melayu merangkumi 44.17 peratus pengundi, diikuti Cina (40.47 peratus) dan India (12.7 peratus).

Di Simpang Jeram pula, pengundi Melayu merangkumi 51.87 peratus pengundi, diikuti Cina (44.58 peratus) dan India (2.53 peratus).