Ikim jawab isu M'sia bukan negara Madani
Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) mengajak orang ramai memahami konsep dan falsafah sebenar gagasan Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ketua Pengarah Ikim Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil mengulas dakwaan sesetengah pihak mengenai isu Malaysia bukan negara Madani.
"Oleh yang demikian, dakwaan yang mempersoalkan falsafah gagasan Malaysia Madani ini perlu diperbetulkan semula dan dihayati bersama.
"Ayuhlah kita bersama-sama pimpinan kerajaan hari ini untuk memahami dasar dan falsafah Malaysia Madani yang sebenar serta bersatu hati ke arah mencapai masyarakat majmuk Malaysia Madani yang harmoni dan bersatu padu," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohamed Azam, Malaysia Madani merupakan suatu ikhtiar secara bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan pentadbiran lebih manusiawi yang sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.
"Jika diteliti, gagasan Malaysia Madani ini juga berasaskan konsep negara Madinah yang mana Rasulullah SAW berjaya menyatupadukan warga Madinah yang terdiri daripada pelbagai suku kaum bukan sahaja sesama umat Islam (muhajirin dan ansar), bahkan juga dengan bukan Islam (Yahudi) melalui Piagam Madinah sebagai satu bangsa (one nation).
Madani pada jenama saja - Hadi
"Madani bukanlah konsep yang baru diperkenalkan oleh Anwar İbrahim. la telah bermula ketika beliau menjawat timbalan perdana menteri Malaysia (1993-1998) dan sentiasa disebut dalam pelbagai ucapan di persidangan nasional mahupun antarabangsa sepanjang beliau bergiat sebagai aktivis sosial dan ahli politik," katanya lagi.
Pembangkang sering mempertikaikan gagasan Malaysia Madani yang dipelopori Anwar, dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang membandingkan konsep madani oleh Rasulullah SAW dengan Malaysia Madani yang dibawa Pakatan Harapan (PH).
"Bukan madani pada jenama sahaja, yang bergelumang dengan penipuan, mungkir janji, kezaliman, rasuah, maksiat dan berbagai-bagai salah laku," dakwa Abdul Hadi pada 21 Julai lalu.
Sementara itu, Mohamed Azam berkata gagasan Malaysia Madani sepertimana wawasan perdana menteri terdahulu "Wawasan 2020, Islam Hadhari, 1 Malaysia dan Keluarga Malaysia" diperkenalkan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa berbilang kaum dan agama yang membangun dan harmoni.
Untuk rekod, Konsep Malaysia Madani menjadi dasar kerajaan baru selepas kali pertama disebut sebagai tema majlis dialog Belanjawan 2023 bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 18 Januari lalu.
Sejak itu, sebagaimana slogan kerajaan sebelum ini diterjemah, disebar dan dizahirkan dalam pelbagai dasar dan program kerajaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai