Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Dakwaan masuk perairan M'sia: Maritim bantah polis S'pura

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) membantah tegas tindakan Singapore Police Coast Guard (SPCG) yang dipercayai telah memasuki perairan Malaysia pada 14 Ogos lepas dan melanggar jaring pukat sebuah bot nelayan tempatan.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Madya Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata nelayan terbabit telah membuat aduan kepada pihak polis susulan insiden pihak SPCG melanggar pukat beliau di kedudukan 0.2 batu nautika di Barat Daya Tuas Checkpoint.

Beliau berkata pihak Maritim Malaysia telah merujuk kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) bagi proses pengesahan lokasi insiden di atas Peta Baru Malaysia 1979 dimana pihak Jupem mengesahkan bahawa lokasi kejadian adalah dalam perairan Malaysia.

“Maklum balas pihak Jupem mengesahkan bahawa lokasi kejadian yang dilaporkan oleh pengadu jelas berada di dalam perairan Laut Wilayah Malaysia berhampiran jambatan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

“Lokasi kejadian juga merupakan kawasan tradisi/lokasi kebiasaan para nelayan tempatan di Johor bagi menangkap ikan dan menjaring udang,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Saiful Lizan berkata Maritim Malaysia merasa kecewa atas tindakan bot SPCG terbabit yang dilihat bertindak melampau, mengganggu serta merosakkan peralatan nelayan tempatan di samping menunjukkan sikap yang tidak menghormati kedaulatan maritim negara jiran.

"Pihak Maritim Malaysia akan membuat permohonan bantahan diplomatik agar kejadian yang serupa tidak berulang di masa hadapan demi memelihara hubungan baik kedua-dua buah negara,” katanya insiden terbabit juga telah mengakibatkan nelayan berkenaan terpaksa menanggung kerugian.

- Bernama