Negeri PH juga pernah guna logo, tema Hari Kebangsaan berbeza
Perikatan Nasional (PN) mencetuskan kontroversi susulan tindakan sayap pemudanya yang melancarkan logo dan tema Hari Kebangsaan alternatif yang bertentangan dengan apa yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan.
Namun, amalan ini bukan yang pertama kali.
Selangor, umpamanya, tidak menggunakan logo kerajaan persekutuan tahun lalu, sebaliknya memilih logonya sendiri.
Kerajaan negeri juga tidak menggugurkan perkataan "Keluarga Malaysia" dalam tema tahun lalu tetapi sebaliknya mengekalkan "Teguh Bersama".
Semakan di media sosial Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menunjukkan bahawa kerajaan negeri juga tidak menggunakan logo Hari Kebangsaan pentadbiran Muhyiddin Yassin pada 2020 dan 2021.
Malah, pada tahun 2020, Amirudin menggunakan tema yang berbeza sama sekali - "Kita Merdeka" - bukannya "Malaysia Prihatin".
Tema “Malaysia Prihatin” digunakan pada 2021, tetapi tanpa logo.
Sementara itu, Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shari berkata Pakatan Rakyat juga mempunyai tema alternatif Hari Kebangsaan pada 2012 sebagai membantah keputusan kerajaan BN ketika itu yang menggunakan tema “Janji Ditepati” sempena sambutan berkenaan.
Begitu juga, semakan ke atas media sosial Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun juga mendapati kedua-dua kerjaan negeri itu tidak menggunakan logo Hari Kebangsaan yang ditetapkan semasa pentadbiran Muhyiddin dan Ismail Sabri Yaakob.
Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu The Star semalam bahawa kerajaan negeri mempunyai hak untuk menetapkan tema dan logo untuk sambutan peringkat negeri dan bukannya Putrajaya.
Terengganu, bagaimanapun, katanya, akan menggunakan logo dan tema Putrajaya untuk tahun ini.
Pada Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengumumkan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023.
Malaysia Madani adalah slogan kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Sabtu lalu, Pemuda PN melancarkan logo alternatif Hari Kebangsaan mereka, yang memaparkan bunga raya dengan lima kelopak, mengambil warna di Jalur Gemilang dan bertemakan "Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera".
Ini dicadangkan sebagai alternatif bagi negeri pimpinan PN iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai