Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

MB Kelantan: Kenapa mudah koyak?

Menteri Besar kelantan Mohd Nassuruddin Daud tampil menjelaskan ucapannya selepas dua Adun pembangkang di negeri itu menuntut permohonan maaf daripadanya atau berdepan tindakan di mahkamah.

"Saya sebut perjuangan Islam, saya tak sebut lawan Islam. Boleh semak, ucapan itu jelas dan nyata. Islam dan perjuangan Islam itu lain.

"Dua benda yang berbeza, jadi jangan pusing mengatakan saya menyebut mereka menentang Islam, tidak.

“Lain dua benda yang berbeza, perjuangan Islam yang saya sebut, boleh dengar elok-elok sebab saya bercakap bahasa Melayu Kelantan yang boleh difahami," katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan bantuan kepada 73 mangsa ribut di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Adun Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim dan Adun Galas Mohd Syahbuddin Hashim menuntut permohonan maaf daripada Nassuruddin dalam tempoh tujuh hari dan tindakan mahkamah akan diambil sekiranya dia gagal berbuat demikian.

Ia susulan kenyataan Nassuruddin dalam ucapan di dalam kuliah di Medan Ilmu, Kota BHaru, Jumaat lalu yang mendakwa dua Adun berkenaan menentang perjuangan Islam.

Pun begitu, Nassuruddin menegaskan dia tidak akan memohon maaf dan akan meneliti notis tuntutan daripada Adun PH dan BN itu.

"Tak apa notis kita teliti, tak ada sampai lagi. Kalau dia hantar kita teliti dulu," katanya.

Ditanya responnya susulan satu laporan polis turut dibuat terhadapnya, Nassuruddin menasihati pihak terbabit supaya tidak terlalu sensitif dan mempunyai daya tahan dalam berpolitik.

"Tak ada masalah, boleh buat (laporan polis), kita negara demokrasi.

“Tapi kalau kita pun buat kenyataan macam-macam sedangkan kenyataan orang lain dengan jelas kenapa mudah koyak?

"Dalam politik tak boleh mudah koyak. Kita kalau nak terlibat dalam politik sesiapa saja, jangan mudah koyak," katanya.