Sekolah gagal kemuka rekod kehadiran guru untuk siasatan - Saksi
Seorang pegawai Kementerian Pendidikan memberitahu mahkamah bahawa pihak sekolah SMK Taun Gusi di Kota Belud, Sabah, tidak pernah menyerahkan buku rekod kehadiran guru bagi membantu siasatan terhadap dakwaan bahawa guru itu gagal menghadiri kelas selama tujuh bulan.
Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Abidin Marja ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu petang tadi memaklumkan dia ketua sektor pengurusan akademik Jabatan Pendidikan Negeri Sabah pada tahun 2018 semasa siasatan terhadap guru itu dijalankan.
Abidin juga berkata dia tidak dapat melihat buku rekod kehadiran guru Bahasa Inggeris Mohd Jainal Jamran yang disaman pelajarnya Siti Nafirah Siman (gambar, bawah) kerana didakwa tidak hadir mengajar di kelas.
Ketika pemeriksaan balas, peguam kanan persekutuan Mohd Hafizi Abdul Halim menyoal Abdidin apakah sebabnya perkara itu berlaku.
Abidin menjawab, “itu sebabnya saya minta supaya buku pengesahan untuk guru yang masuk ke kelas yang diletakkan di atas meja (guru di kelas) untuk membuktikan kehadiran guru mengajar di kelas.
“Namun demikian, sehingga ke akhir siasatan saya, saya tidak nampak buku tersebut.”
Saksi itu juga menolak cadangan Hafizi bahawa dia berniat menyembunyikan apa-apa salah laku.
Tegur pengurusan sekolah
Malah, kata Abidin dia pernah menegur dan memarahi pihak pengurusan sekolah kerana gagal memastikan proses pembelajaran dan pengajaran dijalankan dengan baik, teratur dan memenuhi standard kurikulum Kementerian Pendidikan.
Kes saman ke atas Jainal difailkan bekas pelajarnya Siti Nafirah yang diwakili oleh peguamnya Shireen Sikayun, manakala pihak defendan diwakili Hafizi yang dibantu oleh peguam persekutuan Fazriel Fardianshah Abdul Kadir.
Perbicaraan kes guru ponteng yang di dilaksanakan di hadapan hakim mahkamah tinggi Datuk Ismail Brahim akan bersambung pada 28 Ogos.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai