Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Anwar seolah-olah diktator, kata Mahathir

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mendakwa pentadbiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kini seakan pemerintahan kuku besi apabila menghalang orang Melayu bercakap mengenai masalah yang menyelubungi kaum itu sendiri.

Katanya, situasi itu berbeza berbanding sebelum Anwar menjadi perdana menteri kerana pengerusi PH dikenali sebagai pejuang reformasi dan mahu menghapuskan undang-undang yang dianggap zalim.

“Ada kenyataan (Perdana Menteri) kononnya perkara ini tak boleh dibincang kerana 3R (kaum, agama, raja). Sepatutnya larangan sebegini diputuskan melalui penggubalan undang-undang di parlimen.

“Tapi perdana menteri buat kenyataan ini tak boleh, seolah-olah dia raja atau diktator.

"Selama kita merdeka lebih 60 tahun, bukan kita jadi lebih liberal, tapi jadi kerajaan yang menekan dan menindas,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Yayasan Bukhary, Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Mahathir juga mendakwa kerajaan cuba untuk mengugut dan menutup mulutnya daripada bercakap mengenai masalah yang dialami orang Melayu.

Ini selepas polis merakam percakapannya berhubung dua kenyataan yang dibuat bekas ahli parlimen Langkawi itu di media sosial.

"Bagi saya tindakan polis ini adalah satu cara tekanan dan ugutan untuk menghalang saya daripada bercakap berkenaan masalah dalam negara ini, sedangkan apa yang saya cakap semuanya berasaskan fakta yang jelas dan tidak menyalahi undang-undang.

“Saya cakap mengikut Perlembagaan Negara yang mana kedudukan Malaysia sebagai Tanah Melayu, bila cakap tanah Melayu mereka cakap saya rasis," katanya.

Mahathir juga mendakwa kerajaan menggunakan pihak berkuasa secara sesuka hati hingga menjadikan Malaysia seolah-olah ‘negara polis’, dengan tindakan secara terpilih.

“Kita telah sampai ke satu tahap di mana Malaysia menjadi ‘negara polis’.

"Kerajaan boleh buat apa juga keputusan, Peguam Negara boleh buat apa juga keputusan, sama ada mengikut peraturan atau tidak,” katanya lagi.

Terdahulu, Dr Mahathir dipanggil polis untuk dirakamkan keterangan hari ini susulan kenyataannya pada 27 Julai lalu.

Ketika itu, Mahathir memuat naik dua hantaran di Facebook masing-masing bertajuk ‘Malaysia a Malay Country’ (Malaysia Sebuah Negara Melayu) dan ‘Who Owns the Country’ (Siapa Pemilik Negara Ini).