Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Najib mohon AGC semak semula kes pengubahan wang haram SRC

Bekas perdana menteri Najib Razak memohon agar Jabatan Peguam Negara (AGC) membuat semakan semula kes pengubahan wang haram SRC International Sdn Bhd (SRC) yang dihadapkan ke atasnya.

Permohonan berkenaan dibuat peguam Najib ketika sebutan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Mengikut undang-undang, surat representasi adalah kaedah untuk tertuduh memohon pendakwa raya menyemak semula kes jenayah terhadapnya, seperti menggugurkan pertuduhan atau tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang lebih ringan.

Timbalan pendakwa raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan hakim K Muniandy bahawa AGC sedang meneliti representasi yang dihantar oleh pasukan peguam Najib pada 31 Julai lalu.

Muniandy menetapkan 1 Dis ini untuk sebutan kes bagi tujuan mengemas kini sama ada AGC akan membenarkan semakan tersebut ataupun tidak. Najib diwakili peguam bela Muhammad Shafee Abdullah.

Pada 3 Feb 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan dakwaan menerima hasil daripada kegiatan haram berjumlah RM27 juta melalui tiga akaun banknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank, Bangunan Kumpulan Ambank, No 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Sekiranya didapati bersalah, dia berdepan dengan denda maksimum RM5 juta, penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

[Baca berita penuh]