Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Najib gagal ketepi Sequerah dari adili perbicaraan kes 1MDB

Hakim Collin Lawrence Sequerah akan kekal sebagai hakim dalam perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak yang menghadapi pertuduhan rasuah RM2.28 bilion berkaitan 1MDB.

Hal itu berikutan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Najib pagi ini.

Sebelum ini Najib memohon Sequerah menarik diri atas alasan hakim terbabit pernah menjadi rakan kongsi firma guaman Zain & Co bersama Jasmine Loo kira-kira 15 tahun lalu.

Loo sebelum ini menjadi buruan pihak berkuasa berhubung pembabitannya dalam skandal 1MDB dan sudah ditahan pihak berkuasa Malaysia awal Julai lalu.

Sequerah berpendapat hanya kerana pembabitannya dalam pekerjaan lalu bukanlah alasan untuk menunjukkan dia mungkin berat sebelah dalam pengadilan.

Katanya sejak Loo meninggalkan firma guaman berkenaan pada 2008 dia tidak pernah berhubung sama ada secara peribadi atau profesional dengan individu terbabit.

Loo pula terlibat sebagai peguam am 1MDB pada 2011.

Jasmine Loo

Untuk rekod Sequerah meninggalkan firma itu pada 2014 apabila dia dilantik menjadi hakim.

Sequerah berkata pasukan pembelaan bukan sahaja gagal menunjukkan wujud sebarang hubungan peribadi atau profesional di antara dia dan Loo, bahkan tidak memberikan bukti sebarang hubungan kewangan atau langsung dengan wanita berkenaan.

Katanya hal itu dikuatkan dengan fakta bahawa dia berada di jabatan litigasi firma guaman berkenaan, manakala Loo di jabatan yang berurusan dengan hal ehwal korporat.

Pagi ini Sequerah juga menolak permohonan peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah, untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu rayuan mereka di Mahkamah Rayuan - bagi mengetepikan hakim terbabit - diputuskan.

Bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz kemudian mengambil tempat di untuk menyambung semula pemeriksaan balas oleh Shafee.

Semasa mendengar permohonan itu semalam, Shafee berhujah, terdapat risiko berat sebelah di pihak Sequerah jika dia terus mengadili kes berkenaan.

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya Kamal Baharin Omar membalas, Loo hanya terlibat dengan 1MDB pada 2011, iaitu tiga tahun selepas dia meninggalkan firma guaman Zain & Co.

Najib menghadapi empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion.

Bulan lalu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan, Loo diberkas apabila dia menyerah diri kepada polis selepas menjadi buruan bertahun-tahun.

[Laporan lanjut menyusul]