Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

MB: K'jaan salur bantuan pada keluarga mangsa nahas pesawat

Kerajaan Negeri Pahang akan menyalurkan bantuan atau membiayai sebarang kos termasuk urusan pengebumian kepada keluarga mangsa nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie dekat Bandar Elmina, Shah Alam, petang semalam, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Apa sahaja kos untuk pengurusan mayat dan pengebumian jenazah, Kerajaan Negeri Pahang akan tanggung.

“Semua mangsa nahas (penumpang pesawat serta dua orang awam yang meninggal dunia) kita boleh tanggung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, di Klang malam tadi.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai Datuk Seri Johari Harun antara yang berada dalam senarai penumpang pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuh Raya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, di Shah Alam, kira-kira 2.50 petang semalam.

Loke berkata turut tersenarai ialah dua juruterbang Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim, serta lima penumpang lain iaitu Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali.

Katanya identiti dua lagi orang awam, masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang terlibat dalam insiden berkenaan akan disahkan melalui siasatan polis.

- Bernama